573 mangsa banjir berpuasa di rumah transit

| .

KOTA BHARU: Bagi mengelakkan mangsa banjir terus mendiami khemah sempena Ramadan ini seramai 573 daripada mereka ditempatkan di rumah transit, bangunan kerajaan dan rumah sewa.

Di Gua Musang seramai 110 keluarga ditempatkan di Kem Latihan Pusat Latihan Khidmat Negara di Etnobotani.

Manakala di Kuala Krai (400 keluarga), Tanah Merah (38), Machang (9), Kota Bharu (4) dan Pasir Mas (1).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata kerajaan negeri membayar sewa rumah mangsa banjir di Tanah Merah, Machang dan Kota Bharu.

Katanya mereka dibenarkan tinggal di rumah transit sehingga rumah kekal milik mereka siap.

Selain itu kata beliau NGO juga menyediakan rumah transit kepada mangsa banjir di Kuala Krai.

Gabungan Jaya di Lata Rek sebuah, PAS Perak di Batu Jong (6 buah), Persatuan Bulan Sabit Merah di Aur Duri (7) dan Tzu Zhi (21).

“Sehingga sekarang 400 keluarga mangsa banjir tinggal di rumah transit di Kuala Krai dan 110 di Gua Musang,” katanya di sini.

Di Gua Musang sebelum ini seramai 152 keluarga tinggal di bawah khemah bagaimanapun sekarang hanya tinggal 43 keluarga.

Menurutnya baki yang tinggal di khemah pun sudah puas dipujuk supaya pindah ke Kem PLKN.

Ada kalangan mereka mengenakan syarat mahu memasak sendiri dan menyediakan kenderaan menghantar anak mereka ke sekolah.

“Hasrat kita pada awalnya tidak mahu ada lagi mangsa banjir yang tingal di bawah khemah sempena Ramadan,” ujarnya.

Sehingga 21 Jun lepas masih ada 68 keluarga mangsa banjir yang mendiami khemah di Kuala Krai iaitu di Kuala Nal seramai (3 keluarga) dan enam keluarga sudah dipindahkan ke rumah sewa.

Selain itu Kuala Stong (8), Manek Urai Selatan (6), Kampung Baru Pahi (35) dan Kampung Serasa (16).

Daripada jumlah tersebut 53 mangsa yang total loss dan 21 lagi rosak separuh rumah mereka. - HARAKAHDAILY 23/6/2015

Share on Myspace