Akibat miskin ramai kanak-kanak tercicir

NABILAH SALEH | .

KUALA LUMPUR: Masyarakat global akan menghampakan harapan jutaan kanak-kanak sekiranya ia tidak memberi tumpuan kepada golongan yang kurang bernasib baik itu dalam pelan hala tuju pembangunan 15 tahun yang baharu, tegas Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) hari ini.
    
Laporan terakhir Unicef mengenai Matlamat Pembangunan Millenium (MDG) berkaitan kanak-kanak yang bertajuk "Kemajuan Kanak-kanak: Melewati Purata" menyatakan, walaupun pencapaian amat penting, peluang yang tidak sama rata menyebabkan jutaan kanak-kanak hidup dalam kemiskinan, mati sebelum berumur lima tahun, atau tanpa bersekolah dan mengalami malnutrisi kronik.
    
"Matlamat Pembangunan Millenium membantu dunia menyedari kemajuan yang besar untuk kanak-kanak, tetapi ia juga menunjukkan berapa ramai kanak-kanak yang kita tinggalkan.
    
"Kehidupan dan masa depan kanak-kanak yang kurang bernasib baik adalah penting - bukan sahaja untuk kepentingan mereka sendiri tetapi juga untuk keluarga mereka dan masyarakat," kata pengarah eksekutif Unicef Anthony Lake dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada Bernama.
    
Laporan 2015 itu juga memaparkan berita buruk di mana kemajuan masih gagal menyelesaikan masalah hampir enam juta kanak-kanak yang meninggal dunia sebelum hari jadi kelima mereka, 289,000 wanita yang meninggal dunia setiap tahun ketika melahirkan anak dan 58 juta kanak-kanak yang tidak pergi ke sekolah rendah.
    
Dalam kenyataan itu, Unicef juga menyatakan perbezaan yang terdapat dalam kalangan negara-negara juga menyebabkan kanak-kanak daripada keluarga miskin dua kali lebih berkemungkinan untuk mati sebelum mencapai umur lima tahun, dan jauh berkemungkinan untuk mencapai standard membaca yang minimum berbanding kanak-kanak daripada keluarga kaya.
    
Kegagalan berterusan dalam mendekati golongan kanak-kanak ini boleh mempunyai kesan dramatik, katanya dalam kenyataan.
    
Sejak tahun 2000, MDG telah membantu membawa kemajuan luar biasa terhadap kanak-kanak, sekali gus membuktikan berapa banyak yang boleh dicapai dengan merangsang usaha global yang konkrit.
    
Pelan pembangunan keutamaan kolektif Unicef diwujudkan berikutan perhimpunan terbesar pemimpin dunia dari 189 negara anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk Sidang Kemuncak Milenium di ibu pejabat PBB di New York.
    
Lapan objektif dan sasaran MDG yang dijangka dapat dicapai menjelang akhir tahun ini terdiri daripada menghapuskan kemiskinan dan kebuluran tegar, menggalakkan kesaksamaan gender, mencapai pendidikan rendah yang universal dan melawan HIV-AIDS, malaria dan penyakit lain.

Unicef berharap memandangkan pemimpin dunia bersedia untuk menerima pakai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), kanak-kanak kurang bernasib baik ini perlu berada di tengah-tengah sasaran dan matlamat baharu.
    
Kenyataan itu berkata pengumpulan dan pengasingan maklumat yang lebih baik, sistem perlindungan sosial dan pendidikan, kesihatan awam yang kuat dan pelaburan bijak yang memenuhi keperluan boleh membantu lebih banyak kanak-kanak untuk terus hidup dan berkembang maju untuk kebaikan jangka pendek dan panjang.
    
"Matlamat Pembangunan Lestari menyediakan peluang untuk mengaplikasi pengajaran yang telah kita pelajari dan sampai kepada kanak-kanak yang memerlukan - dan malu sekiranya kita tidak dapat melakukannya.
    
"Kesaksamaan peluang yang lebih besar untuk kanak-kanak hari ini bermaksud kurangnya ketidaksamaan dan lebih banyak kemajuan global pada hari esok," kata Lake.
    
SDG, yang dijangka akan diumumkan pada September ini, merupakan set cadangan sasaran yang akan menggantikan MDG sebaik sahaja tempohnya tamat pada 2015.
    
Unicef berkata berdasarkan kadar kemajuan semasa, dijangkakan lebih 68 juta kanak-kanak bawah umur lima tahun akan mati kebanyakannya daripada sebab-sebab yang boleh dicegah menjelang 2030, manakala kira-kira 119 juta kanak-kanak akan tetap mengalami kekurangan nutrisi yang kronik pada 2030.
    
Menurut kenyataan itu, setengah bilion orang masih membuang air besar di tempat terbuka, mendedahkan risiko yang serius terhadap kesihatan kanak-kanak pada 2030; dan ia mengambil masa hampir 100 tahun untuk kanak-kanak perempuan dari keluarga termiskin di sub-Sahara Afrika melengkapkan pendidikan menengah rendah mereka.
    
Bagaimanapun, kejayaan yang ketara sejak 1990 turut dilaporkan termasuk kadar kematian kanak-kanak bawah lima tahun menurun sebanyak lebih daripada separuh, daripada 90 kepada 43 bagi setiap 1,000 kelahiran hidup; kekurangan berat badan dan nutrisi kronik dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun menurun sebanyak masing-masing 42 peratus dan 41 peratus.
    
Kematian ibu juga menurun sebanyak 45 peratus dan 2.6 bilion orang mendapat akses kepada sumber air minuman yang lebih baik, kata Unicef. - BERNAMA

Share on Myspace