Mesir khianati umat Islam buka kedutaan di Tel Aviv

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Tindakan Kerajaan Kudeta Mesir di bawah rejim pimpinan Presiden Abdel Fattah as-Sisi untuk membuka kembali pejabat Kedutaan Mesir di Tel Aviv merupakan satu petaka malang pada Ramadhan yang mulia ini dan pengkhianatan ke atas seluruh umat Islam.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, keputusan itu membuktikan karektor sebenar rejim Mesir bahawa mereka selama ini adalah tali barut kepada negara pengganas dunia dan bersekongkol dengan Zionis Israel untuk menggulingkan pemerintahan Kerajaan Mesir pilihan rakyat di bawah pimpinan Dr Mohamed Mursi.

"Saat dunia dan masyarakat antarabangsa mengutuk penjajahan Israel ke atas kedaulatan Palestin dan kezaliman serta pembunuhan terhadap kaum Muslimin di Tanah Suci umat Islam itu, rejim Mesir menghulur tangan menjabat hubungan diplomatik," ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, Dewan Pemuda PAS Malaysia melihat hubungan tersebut sebagai usaha pengukuhan geostrategik Israel sekaligus untuk mengarus dan menguasai kepentingan politik dunia.

Menurutnya, ia bakal mengundang tragedi hitam ke atas kemanusiaan sejagat amnya dan Islam secara khususnya akan terus dikambinghitamkan dengan pelbagai tuduhan terorisme.

Situasi itu, ujar beliau kelak akan dimanipulasi untuk menjadikan Mesir sebagai jambatan menghubungkan Israel dengan negara-negara umat Islam dirantau Asia Barat dan Timur Tengah khususnya.

Katanya, dengan rekod buruk dimiliki negara pergerakan Freemason itu, mereka akan memperkudakan pihak lain sebagai boneka hingga mengundang pelbagai ketidakstabilan politik, bencana ekonomi dan gugatan keselamatan dunia.

Sehubungan itu, ujar beliau Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) menggantung keanggotaan Mesir.

"Kami juga menyeru kepada seluruh umat Islam agar bangun menyatakan bantahan dan menyelar keputusan memalukan umat Islam itu," tegasnya. - HARAKAHDAILY 23/6/2015

Share on Myspace