Mangsa banjir enggan pindah ke rumah transit

SALMAH MAT HUSAIN|FOTO RIZAL TAHIR | .

KUALA KRAI: Ada mangsa banjir enggan berpindah dari khemah ke rumah transit disediakan kerajaan difahamkan kerana mahu menagih simpati daripada orang ramai.

“Kita mendapat maklumat ada mangsa banjir ingin kekal di situ kerana ada di antaranya mendapat bantuan dari pihak yang bersimpati khususnya di hujung minggu,” kata Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Beliau berkata kerajaan menyediakan penempatan sementara di kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Taman Etnobotani.

Namun katanya mereka enggan juga berpindah dan masih mahu berada di khemah di tapak projek Bandar Utama.

Menurutnya mereka menjalani ibadat Ramadan di situ kerana sebahagian besar mangsa di bawah seliaan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Malah katanya berdasar maklumat diperolehi ada mangsa banjir sengaja mengambil kesempatan tinggal di situ dengan harapan untuk mendapatkan rumah kekal seperti mangsa banjir lain.

Sedangkan katanya ada kalangan mereka tidak disenaraikan bersama 1,827 mangsa banjir yang mengalami kerosakan penuh rumah akibat banjir akhir tahun lepas.

“Akibat tindakan mereka itu menyebabkan masyarakat luar memandang negatif terhadap kerajaan negeri kerana membiarkan mangsa banjir tinggal di bawah khemah,” katanya penyampaian kunci rumah kekal sumbangan kerajaan Kelantan kepada mangsa banjir di Dun Mengkebang, di sini semalam.

Hadir sama anggota Exco Datuk Abdul Fattah Mahmood, Adun Mengkebang, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman dan Adun Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah dan wakil Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai.

Akhbar melaporkan 43 keluarga mangsa banjir yang mendiami khemah di Bandar Utama enggan berpindah ke Kem PLKN kerana dipercayai sengaja mahu menarik simpati orang ramai.

Seorang mangsa banjir dilapor mengakui sejak tinggal di khemah enam bulan lepas bantuan diterima begitu memuaskan biar pun tidak selesa berada di situ.

Sumber lain pula mendakwa ada mangsa banjir di situ datang sekali sekala ke khemah tersebut kerana memiliki kediaman di tempat lain.

Mohd Amar juga berharap media mendapat maklumat dari kerajaan negeri bagi mengelakkan tanggapan negetif memandangkan orang ramai tidak mengetahui keadaan sebenar.

“Selain menceritakan keresahan mangsa banjir yang masih tinggal di khemah, media juga disaran merujuk kepada kerajaan negeri khususnya Pejabat Tanah dan Jajahan bagi mendapat gambaran sebenar.

“Yang penting mendapat maklumat jelas. Ia juga sebagai check and balance. Jika hanya sebelah pihak sahaja ditemuramah akan menampakkan kerajaan negeri seolah-olah tidak mempedulikan mereka,” ujarnya.

Beliau juga berkata sehingga sekarang sebanyak 160 rumah sedang dalam pembinaan di bawah kerajaan negeri di seluruh jajahan.

Sehingga semalam kerajaan negeri menyiapkan 57 rumah kekal. Sebanyak 20 daripadanya diserahkan kunci semalam di Batu Jong dan Laloh.

Jumlah keseluruhan yang siap sebanyak 137 termasuk dikendalikan NGO dan agensi kerajaan pusat. - HARAKAHDAILY 23/6/2015

Share on Myspace