Wajib berhukum dengan hukum Allah

USTAZ DATUK AHMAD YAKOB | .

Perbincangan juz keenam pada hari ini akan bermula pada ayat 148 surah Al-Nisa' dan berakhir pada ayat 82 daripada surah Al-Maidah. Fokus pertama yang dibawa ialah sekitar kisah Nabi Isa Alaihissalam dan perjuangannya.

Nabi Isa dianggap telah disalib, namun pada hakikatnya baginda diangkat oleh Allah SWT ke langit. Nabi Isa hanyalah seorang Rasul utusan Allah dan bukannya anak Tuhan sebagaimana dakwaan para pelampau ahli kitab.

Orang Yahudi dan Nasrani turut mendakwa bahawa mereka adalah anak Allah yang sangat dikasihi oleh-Nya. Inilah keengkaran yang telah merosakkan segala akidah anutan terhadap kitab yang telah diturunkan.

Allah menegaskan bahawa para Rasul diutuskan bagi menyampai kebenaran di sisi-Nya serta memberi khabar gembira kepada ummah.

Para rasul telah membawa risalah keamanan dan kesejahteraan kepada sekalian masyarakat dengan menyeru kepada pengabdian diri hanya kepada Allah dan menjauhi segala perbuatan syirik dan haram termasuk mengelakkan daripada pengambilan makanan tidak patuh syariah yang menjadi asbab kepada kemudharatan tubuh badan dan kerakusan sikap manusia.

Dalam juz ini dinyatakan juga hukum tentang penyempurnaan wuduk, tayamum serta beberapa hukuman bagi kes-kes jenayah yang melibatkan rompakan, bunuh dan kecederaan.

Di sinilah rahmatnya hukuman Islam melalui hukum hudud dan qisas keatas penjenayah sekalipun mereka telah melakukan jenayah yang berat. Melalui penerapan hukum Allah inilah yang akan memakmurkan muka bumi daripada segala malapetaka angkara kerja buat manusia.

Di akhir juz ini, Allah turut menegaskan bahawa wajib berhukum dengan hukum yang diturunkan oleh-Nya dan tidak boleh sama sekali mengikut hawa nafsu golongan yang jahil hukum Allah.

Oleh yang demikian, menjadi kewajipan menegakkan hukum Allah melalui parti yang menepati ciri-ciri parti Allah iaitu antara lain merendah diri sesama mukmin, bertegas dengan golongan kufar yang merendahkan Islam, sentiasa berjihad di jalan Allah tanpa alasan dan tidak gentar dengan pelbagai ancaman serta cabaran pihak musuh. - HARAKAHDAILY 23/6/2015

Menteri Besar Kelantan Darulnaim

Share on Myspace