Satu daripada silo Petronas di Kerteh terbakar

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Kebakaran dilaporkan berlaku di salah satu daripada silo (kapal penyimpanan produk perantaraan) di Petronas Chemicals LDPE Sdn. Bhd (PC LDPE) di Kertih kira-kira pukul 5 petang tadi.

Menurut Ketua Perhubungan Media, Petronas Chemicals Group Berhad, Ahmad Faiz Abdul Rahman, kebakaran terhad kepada PC LDPE dan tidak memberi kesan kepada pengeluaran di kilang PCG yang lain.

"Kebakaran bejaya dikawal dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan. Semua pihak berkuasa berkaitan telah dimaklumkan mengenai insiden itu," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ahmad Faiz berkata tiada ancaman serta merta kepada kakitangan di lokasi kejadian atau masyarakat sekeliling.

Siasatan akan dijalankan untuk mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerosakan ke atas hartabenda, kata beliau.

Sementara itu, Pegawai Zon 2, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Terengganu, Azmi Abdul Rahim ketika dihubungi Bernama berkata sejurus menerima panggilan mengenai kebakaran berkenaan, pihaknya menghantar sebanyak 35 anggota termasuk unit Hazmat bersama tiga jentera bomba ke tempat kejadian.

Katanya sehingga pukul 9 malam tadi pihaknya telah berjaya mengawal dan memadam api berkenaan namun masih ada tindak balas daripada bahan yang terbakar tersebut.

"Kita masih menjalankan operasi pemadaman dan penyejukan bagi mengelakkan bahan-bahan kimia yang diproses tersebut kembali aktif dan menyebabkan kebakaran lagi," katanya.

Beliau berkata pihak pengurusan kilang tersebut telah berjaya menutup injap paip yang terbakar bagi mengawal api dari merebak ke kawasan yang lain. - Bernama

Share on Myspace