Jangan leka 'mencabut kemuncup di stokin'

NASRUDIN HASSAN | .

Muktamar Tahunan PAS ke-61 telah melabuh tirai. 'Istiqamah Hingga Kemenangan' menjadi pelan bertindak semasa untuk meneruskan perjuangan Islam di atas tanah air tercinta. Insyaallah, ianya akan dimunaqasyahkan ke seluruh negara dalam tempoh berakhir sebelum Oktober depan.

Justeru itu, semua saf kepimpinan PAS di semua peringkat (pusat, negeri, kawasan dan cawangan) mesti proaktif. Laksanakan amanah perjuangan dan usah terpedaya dengan pelbagai gangguan yang cuba melengahkan pergerakan kita.

Tanggungjawab kita ialah meneruskan baton perjuangan ini hingga kemenangan menjadi milik kita di dunia dan di akhirat.

Kita bukanlah orang yang memulakan perjuangan tetapi kita adalah mata rantai yang menyambung tradisi cemerlang yang telah dibina oleh kepimpinan dan generasi terdahulu. Maka kita sebagai waris perjuangan ini, jangan sekali-kali hampakan pewarisnya yang telah berjuang dan berkorban menjulang Islam ke mercunya.

Namun tidaklah kita sekadar berbangga dengan kecemerlangan yang diwarisi. Cabaran perjuangan ini mesti digalas dengan penuh amanah dan rasa bertanggungjawab. Bina prestasi perjuangan dengan penuh dedikasi. Jangan asyik dan leka 'mencabut kemuncup di stokin' hingga lupa melangsungkan gerak kerja untuk mencapai matlamat perjuangan.

PAS adalah wadah perjuangan untuk membina masa depan ummah yang sejahtera dan selamat dari cengkaman sistem politik Machiavelli yang menggunakan prinsip "matlamat menghalalkan cara" dan bebas jua dari sistem ekonomi kapitalis yang memeras golongan marhaen.

Justeru itu, ia mesti didukung oleh semua pihak yang menyimpan hasrat serupa. Jangan terperangkap dengan fitnah dikotomi ulama dan profesional, sedang struktur kepimpinan dan organisasi PAS sejak awal penubuhannya adalah terdiri dari gandingan mantap para alim ulama, profesional dan aktivis yang ikhlas berjuang.

Usah berpolemik lagi. Terus mara ke hadapan dengan optimis. Pacu perjuangan ini dengan tangkas. Rapatkan saf dan cerdaskan minda untuk terus berfikir mencipta pelbagai variasi perjuangan. Teroka ruang yang masih memerlukan kehadiran PAS. Luruskan jambatan dengan non muslim. Cerahkan kekeliruan persepsi awam kepada perjuangan PAS ekoran fitnah tabur yang begitu dahsyat.

Jentera penerangan di semua peringkat wajar mengoptimumkan fungsi dan operasi. Keluar dari zon selesa dan julang panji perjuangan ini dengan yakin dan bangga. - HARAKAHDAILY 24/6/2015

Penulis ialah Ketua Penerangan PAS Pusat.

Share on Myspace