Tidak ada kumpulan seperti ini dalam PAS - Khalil

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Muhammad Khalil Abdul Hadi mengingatkan pendukung parti supaya berwaspada dengan perancangan musuh Islam yang sentiasa mahu memecahbelahkan saf Gerakan Islam PAS.

"Dari dahulu sehingga sekarang kita dengar bermacam-macam istilah yang digunakan untuk membantutkan perjuangan Islam.

"Kita pernah dengar istilah golongan pondok vs golongan universiti, kemudian geng ketayap vs geng songkok, kemudian golongan ulama vs golongan profesional dan aktivis, kemudian golongan kolot vs golongan moderat," ujar Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia itu menerusi facebook.

Katanya, sekarang timbul pula istilah baru golongan konservatif vs golongan progresif.

Menurutnya, tidak ada kumpulan-kumpulan seperti itu di dalam PAS.

Beliau menjelaskan yang ada hanyalah para amilin sama ada dari kalangan pondok atau universiti, ulama, profesional atau aktivis, kaya atau miskin, muda atau tua.

"Inilah rahsia kekuatan PAS sehingga ianya mampu bertahan sehingga ke hari ini.

"Para amilin ini yang ditarbiyah untuk berintima' di dalam PAS dan bekerja dengan penuh keikhlasan kepada Allah," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 24/6/2015

Share on Myspace