Sokong Azmin sebagai MB, kerjasama dengan PR

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Hari ini, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di dalam satu kenyataan telah menyatakan harapan agar Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor terus dipertahankan kerana ia adalah kerajaan yang dibina bersama melalui kepercayaan rakyat.

"Sehubungan itu, ingin saya tegaskan di sini bahawa kami Exco-Exco PAS Selangor dan Ahli-Ahli Dewan Negeri PAS Selangor menyokong penuh YAB Mohamed Azmin Ali, Datuk Menteri Besar Selangor," ujar Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Iskandar A Samad.

Katanya, kerajaan negeri pimpinan Azmin mesti dipertahankan untuk memastikan segala agenda pembangunan dan kebajikan negeri dapat diteruskan.

Tambahnya, Kerajaan Negeri Selangor yang dibina di atas Dasar Bersama Pakatan Rakyat telah berjaya menjadi contoh kepada seluruh negara dan menjadi harapan kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Kami juga akan terus menjalinkan kerjasama yang akrab dengan rakan-rakan komponen Pakatan Rakyat agar amanah yang diberikan oleh rakyat tidak khianati dan tanggungjawab terhadap mereka dapat ditunai," ujarnya dalam satu kenyataan. - HARAKAHDAILY 24/6/2015

Share on Myspace