Kerajaan perlu jelaskan isu Mara beli rumah di Australia

HARAKAHDAILY | .

Portal berita luar negara terutama di Australia mendedahkan bahawa pembelian rumah pelajar yang dikenali Dudley International House berhampiran dengan Monash University untuk pelajar-pelajar Malaysia terlibat dengan skandal rasuah dan pembersihan duit haram.

Laporan video, tulisan dan graphic boleh didapati melalui http://www.theage.com.au/national/corrupt-malaysia-money-distorts-melbourne-market-20150623-ghu6a0.html .

Berhubung dengan kes ini, PAS merasakan perlu pihak berkuasa Kerajaan Malaysia menyiasat proses ini yang melibatkan integriti dan maruah negara.

Proses urusniaga yang didakwa sumbang ini melibatkan organisasi Mara dan anak syarikat Mara yang bertanggungjawab mengurus kebajikan pelajar-pelajar di sana.

Mengikut maklumat berita tersebut, bangunan apartmen lima tingkat yang berharga A$17.8 juta dijual dengan harga A$22.5 juta. A$4.75 juta dikatakan rasuah di antara pegawai Malaysia dan syarikat tempatan yang berurusan di sana.

PAS mengharapkan tindakan segera perlu dilakukan oleh Kerajaan Malaysia untuk membetulkan persepsi masyarakat dunia terhadap negara ini yang disebut sebagai sebuah Negara Islam yang menjadi contoh.

Sekiranya dakwaan ini benar, Malaysia perlu memecat dan menghukum pihak yang terbabit dan perlu memulihkan semula kepercayaan warga asing terhadap tatacara yang dilakukan oleh pegawai-pegawai negara ini.

PAS menuntut pengerusi Mara dan CEO Mara Incorporated Sdn Bhd serta semua yang terlibat dengan transaksi ini diarahkan bercuti bagi memberi laluan proses penyiasatan.

Satu panel bebas dianggotai oleh ahli parlimen kerajaan dan pembangkang serta NGO perlu ditubuh untuk menyiasat perkara ini dengan kadar segera untuk memulihkan imej negara dan maruah rakyat Malaysia. - HARAKAHDAILY 25/6/2015

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ahli Parlimen Temerloh

Share on Myspace