PAS cakna nasib penduduk Ladang Segambut

WAN NORDIN WAN YAACOB | .

KUALA LUMPUR: PAS mengutuk kezaliman yang dilakukan pihak berkuasa dan pemaju yang merobohkan rumah-rumah milik penduduk asal Ladang Segambut.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, pengusiran paksa yang dilakukan keatas 32 keluarga ladang terbabit adalah satu tindakan tidak bertamadun dan tidak berperikemanusiaan.

Walaupun rata-rata penghuni kampung tersebut adalah kaum India, namun PAS komited membantu tanpa mengira kaum atau agama, kata beliau.

Beliau berkata demikian semasa sidang medianya selepas melawat kawasan rumah yang dirobohkan sebentar tadi di Segambut.

Ladang Segambut telah dimiliki oleh syarikat swasta berpuluh tahun. Penduduk juga telah mendiami kawasan berkenaan kira-kira 100 tahun lalu.

Pemaju ingin membangunkan kawasan berkenaan. Namun penduduk tidak mahu berpindah kerana pada awalnya mereka tidak diberikan pampasan dan rumah lain.

Isu ini telah dibawa ke mahkamah. Ia diketuai oleh pemimpun BN Segambut.

Tetapi, pihak penduduk telah kalah dalam kes berkenaan.

Pihak pemaju telah memberi saguhati kepada peguam yang mengendalikan kes tersebut.

Penduduk mendakwa duit tersebut tidak sampai kepada mereka dan menuduh peguam telah hilang dan melarikan duit berkenaan.

Di kampung tersebut, peguam terbabit telah dicop sebagai pengkhianat oleh penduduk yang tertindas.

Mereka telah diberi notis untuk berpindah tetapi enggan. Pihak pemaju yang telah mendapat perintah mahkamah dibenarkan untuk merobohkan rumah-rumah berkenaan kerana statusnya tidak sah.

Kerja-kerja meroboh telah bermula 19 Jun lalu dan kini penduduk hanya duduk dalam khemah yang disediakan oleh pelbagai pihak membantu.

Timbalan Menteri WP, Datuk Loga Bala Mohan berkata bahawa pihak kerajaan dengan ihsan telah menyediakan 12 unit rumah PPR bagi 12 keluarga.

Sebelum ini lapan buah rumah dibina diatas tapak tanah milik KTMB namun akhirnya dirobohkan.

Penduduk mendakwa jumlah keseluruhan keluarga yang memerlukan rumah ialah sebanyak 25 buah keluarga.

Mengulas lanjut, Ustaz Idris yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata PAS mendesak kerajaan bertanggungjawab memberi pampasan dan membina setidak-tidaknya sebuah rumah kos rendah atau PPR kepada mangsa.

Ditanya apa tindakan PAS, beliau berkata bahawa PAS akan menubuhkan Task Force khas bagi memantau dan mengkaji isu itu untuk membawanya ke peringkat lebih tinggi termasuk menyuarakannya kepada menteri dan Parlimen.

PAS juga mendesak pihak pemaju boleh terus berunding dengan penduduk untuk mendapatkan situasi menang-menang.

PAS juga katanya akan menyediakan khidmat guaman kepada penduduk yang telah ditahan polis kerana mempertahankan rumah mereka daripada dirobohkan baru-baru ini.

PAS juga katanya komited membantu dari sudut kewangan kepada penduduk terbabit sedaya mampu.

Hadir sama semasa lawatan sebentar tadi adalah Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan, Ketua DHPP, Balasubramaniam, Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh dan Bendahari PAS Pusat, Mohammad Nor Mohamad. – HARAKAHDAILY 25/5/2015

Share on Myspace