Tubuh Suruhanjaya Diraja siasat skandal Mara

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mendesak suatu Suruhajaya Diraja bagi menjalankan siasatan yang menyeluruh, adil dan telus dapat dijalankan secara mendalam terhadap pembelian hartanah Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Australia.

Pada masa yang sama, katanya, amat wajar bagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dan Pengerusi Mara Tan Sri Annuar Musa digantung daripada menjalankan tugas mereka sementara menanti hasil siasatan yang dijalankan.

Hal ini kerana katanya, pembelian hartanah yang mendatangkan kerugian jutaan ringgit kepada sebuah agensi awam yang lahir daripada semangat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan turut membabitkan penglibatan Perdana Menteri di dalam proses kelulusannya.

"Selaku Ahli Parlimen, saya memandang serius laporan yang dibuat oleh akhbar Australia “The Age” yang mendakwa berlakunya penyelewengan di dalam urusan pembelian hartanah Dudley International House di Melbourne, Australia oleh Mara yang telah dibeli melebih RM13.8 juta daripada harga sebenar," katanya.

Mahfuz turut mempertikaikan jika pembelian diluluskan Mara dan Majlis Ekonomi tanpa bersandarkan kepada sebarang laporan penilaian atau diluluskan dengan tidak mempedulikan laporan penilaian yang dibuat, maka jelas berlaku pelanggaran undang-undang dan juga kecuaian yang teruk (gross negligence) membabitkan kesemua mereka yang terlibat meluluskan pembelian tersebut di setiap peringkat termasuk Perdana Menteri, yang  mana kesemua mereka ini boleh dikenakan pendakwaan jenayah atau tindakan sivil di mahkamah.

"Tambah mengejutkan, laporan yang sama juga menyebut bahawa Mara telah turut membeli tiga lagi hartanah lain di Australia. Kita semua berhak untuk mengetahui apakah kesemua transaksi lain tersebut turut berlaku pada harga yang sengaja dinaikkan untuk memberi keuntungan ‘atas angin’ kepada dalang yang terlibat," tambah beliau.

Soalnya, bagaimana pembelian hartanah ini yang melalui pelbagai proses tapisan dan kelulusan termasuk di peringkat Lembaga Pengarah Mara dan Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri, apakah tidak langsung dibangkitkan tentang keperluan mendapatkan laporan penilaian bagi melihat kemunasabahan harga yang ditawarkan?

"Pengerusi Mara mengakui bahawa laporan penilaian hartanah yang dilakukan firma antarabangsa mengatakan nilai RM65.4 juta tersebut lebih tinggi daripada nilai sepatutnya. Justeru, persoalan yang perlu dijawab bilakah penilaian tersebut dibuat? Adakah sebelum atau selepas pembelian dilaksanakan?" tegasnya.

Namun katanya, penjelasan yang diberikan oleh Annuar Musa berhubung perkara ini pada hari ini tidak langsung membantu menjelaskan bagaimana Mara boleh membeli hartanah tersebut jauh 27% lebih tinggi dari harga sebenar.

Bahkan kenyataan yang dibuat Pengerusi Mara katanya menimbulkan persoalan yang lebih besar iaitu adakah Mara tidak langsung mendapatkan laporan dan nasihat penilai bertauliah sebelum Mara bersetuju untuk membeli hartanah tersebut pada harga RM65.4 juta padahal ia adalah amalan yang sepatutnya dilakukan di dalam mana-mana urusan pembelian hartanah. – HARAKAHDAILY 25/6/2015

Share on Myspace