Anak gesa FGV disiasat urus niaga mencurigakan

| .

KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) hari ini membuat laporan polis terhadap dua individu penting dalam Felda berhubung urusniaga mencurigakan antara Felda Global Ventures (FGV) dengan PT Eagle High Plantations.

Presiden Anak Mazlan Aliman berkata, pihaknya menggesa pihak polis menyiasat Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad dan Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Dr Emir Mavani kerana membeli saham PT Eagle hampir dua kali ganda lebih mahal dari harga pasaran.

PT Eagle adalah di bawah Rajawali Group yang dilaporkan milik Peter Sondakh yang didakwa rapat dengan kepada pemimpin tertinggi negara.

Harga pasaran semasa sahamnya hanya RP400 tetapi FGV membelinya pada harga RP700 sesaham.

"Pembelian ini pada harga yang luar biasa tingginya dan terdapat pula syarat-syarat yang tidak memihak kepada FGV.

"Satu penyiasatan terperinci perlu dibuat ke atas pihak yang bertanggungjawab," kata Mazlan kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Mazlan juga berkata, adalah suatu yang pelik apabila walaupun selepas urusan jual beli dimuktamadkan, FGV menjadi pemegang saham major kepada PT Eagle dan menguasai sebanyak 37 peratus tetapi pengurusan masih dipegang Rajawali Group.

"Sepatutnya pemegang saham major iaitu FGV menguasai pengurusan. Ini adalah amalan di luar kebiasaan," katanya lagi.

Menurut Mazlan juga, ladang PT Eagle yang terletak di Kalimantan menyebabkan masalah aksesibiliti dan mengakibatkan kos pengangkutan menjadi tinggi.

"Sebahagian besar tanah masih belum ditanam dengan sawit bermakna tanah belum menjana apa-apa hasil. Malahan dana tambahan diperlukan untuk membangunkan tanah berkenaan.

"Kawasan berhasil adalah pokok muda, bermakna hasil masih rendah," ujarnya.

Selain itu, bayaran deposit belian lebih dari 10 peratus adalah di luar daripada jualan biasa dan perjanjian penerimaan.

Apa yang membimbangkan juga kata Mazlan, FGV sukar menguasai pasaran minyak masak Indonesia kerana di Indonesia ramai lagi pemain pasaran minyak sawit yang besar, antaranya PT Sinar dan Mas- Syarikat Permata Hijau dan lain-lain.

"Dengan berbelanja cuma RM182 juta (USD47 juta), PT Rajawali Group dapat menguasai 2.6 peratus saham FGV sedangkan Koperasi Permodalan Felda (KPF) terpaksa berbelanja lebih RM800 juta untuk mendapat lima peratus saham FGV.

"Bermakna saham FGV dijual kepada PT Rajawali Group pada harga yang sungguh istimewa," katanya. - HARAKAHDAILY 25/6/2015

Share on Myspace