Proses jual semula tanah TH di TRX masih diteruskan

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Proses penjualan semula tanah milik Lembaga Tabung Haji (TH) di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) masih diteruskan dan belum dimuktamadkan sama ada ia akan dibatalkan.
    
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata keputusan TH sebelum ini untuk menjual semula tanah itu adalah kerana tidak mahu menimbulkan lebih banyak fitnah dan tohmahan terhadap TH, walaupun pembelian aset itu jelas berlandaskan perniagaan dan patuh syariah.
    
"Proses pembelian tanah ini dibuat dengan rapi, walaupun tawaran daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bermula pada Mei 2013, tapi ia hanya dibeli pada 2015.
    
"Ada sesetengah orang tak faham, kalau nilai tanah di TRX diukur oleh badan bebas antarabangsa, harganya mahal dan TH sebenarnya diberi tawaran lebih baik dan pada waktu itu (pada 2013) tanah itu belum dibangunkan.
    
"Namun setelah pandangan atau persepsi negatif lebih mengatasi daripada perniagaan, untuk tidak mahu timbulkan fitnah, TH ambil keputusan untuk menjual kembali tanah itu," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Muhammad Olian Abdullah pada persidangan Dewan Negara hari ini.    
    
Muhammad Olian ingin tahu adakah keputusan menjual semula tanah seluas 0.63 hektar dalam kawasan TRX itu adalah keputusan muktamad.
    
Jamil Khir juga memberitahu bahawa berlaku perhimpunan dan demonstrasi di hadapan bangunan TH selain pihaknya turut menerima memorandum daripada badan bukan kerajaan (NGO), yang memperlihatkan kemarahan orang ramai disebabkan persepsi tidak tepat ke atas pembelian tanah itu.
    
Beliau berkata, rakyat khususnya yang beragama Islam seharusnya berbangga kerana umat Islam boleh memiliki satu kawasan pembangunan dalam segi tiga emas yang akan menjadi ikon pada masa akan datang.
    
"Kini 1MDB dah bangunkan tanah itu termasuk akan ada kereta api laju dari Singapura, lebuh raya... akan ada bangunan ikon seperti KLCC, malah ia lebih hebat dan perkara ini sedang giat dibangunkan infrastrukturnya, bukan hanya atas kertas.
    
"Sebenarnya kita juga ingin melihat pada satu ketika bahawa TRX terbangun bukan hanya dalam bentuk keindahan, tapi boleh bermegah dengan bangunan dimiliki TH di TRX," katanya.
    
Sementara itu, Jamil Khir berkata TH sentiasa menitik beratkan kepentingan pendepositnya dan menegaskan bahawa setiap pelaburan yang dirancang dan dilaksanakan adalah selamat dan berdaya maju serta memberikan manfaat dan keuntungan kepada pendeposit tanpa menjejaskan simpanan mereka.
    
Katanya, pendeposit hendaklah terus yakin dengan keupayaan TH sebagai sebuah institusi ikonik Islam yang terulung di negara ini.
    
Tabung Haji sebelum ini dikecam hebat kerana membeli tanah tersebut dengan harga RM188.5 juta daripada syarikat pelaburan kerajaan 1MDB.
    
Ekoran itu, pada 9 Mei lepas, TH memutuskan untuk menjual tanahnya di TRX atas nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai menghormati sensitiviti dan kepercayaan pendeposit.     
    
Bagaimanapun pada persidangan Dewan Rakyat yang lepas, beberapa wakil rakyat yang menyentuh isu pembelian tanah itu, termasuk bukan Islam, berpendapat TH wajar menimbang semula cadangan untuk menjual tanah berkenaan kerana disifatkan sebagai pelaburan yang menguntungkan. - BERNAMA

Share on Myspace