Skandal Mara, siasat juga Najib

| .

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mesti disiasat berhubung skandal pembelian hartanah di Melbourne, Australia oleh anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (Mara). Mara Inc.

Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin berkata, pihak polis harus mengambil serius pengakuan Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa bahawa Najib selaku Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) meluluskan pembelian tersebut.

“Perdana Menteri mengatakan bahawa ‘Melbourne Deal’ mesti disiasat. Pendedahan oleh Pengerusi Mara mengatakan bahawa yang turut meluluskan adalah Perdana Menteri, kita minta Perdana Menteri mesti bersedia untuk disiasat.

"Dan kita harap pihak polis tanpa mengira setinggi mana pangkat seseorang mesti bersedia untuk menyiasat,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi hari ini.

Akhbar Australia, The Age melaporkan, berlaku penyelewengan dalam urusan pembelian hartanah Dudley International House di Melbourne, Australia oleh Mara yang dibeli melebihi RM13.8 juta daripada harga sebenar.

Hanipa juga berkata, pihak polis perlu bertindak cepat seperti polis Australia yang telah melakukan beberapa serbuan sejak isu pembelian hartanah tersebut didedahkan.

“Dilaporkan polis di sana sudah membuat serbuan. Diharap polis di sini perlu bertindak cepat. Jangan setakat kita serahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sahaja.

“Kita harap polis akan menyiasat kes ini secara keseluruhan,” katanya.

Turut bersama ialah Ahli Parlimen Shah Alam, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud dan bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifli Ahmad. - HARAKAHDAILY 25/6/2015

Share on Myspace