Jangan lurus, TPPA bukanlah perjanjian terbaik abad ini

MOHD NIZAM MAHSHAR | .

1. Sebagai sebuah organisasi yang ditubuhkan untuk memastikan bahawa Malaysia tidak “di jual” di dalam proses perundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik, Bantah merasakan perlu untuk memberi penerangan khusus bagi menyangkal kenyataan yang dibuat pada 23 Jun oleh Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS Wan Saiful Wan Jan mengenai perjanjian perdagangan tersebut.

2. Seperti yang kita maklum, perundingan TPPA diselubungi rahsia. Wan Saiful menyatakan bahawa perundingan perlu dijalankan dengan cara yang lebih telus. Namun begitu, beliau tetap menyokong penuh penglibatan Malaysia di dalam proses perundingan kerana beliau percaya bahawa Malaysia boleh menarik diri dengan sewenang-wenangnya daripada menandatangani perjanjian tersebut jika ia didapati tidak menguntungkan Malaysia.

3. Bantah telah berbilang kali menyatakan bahawa Malaysia harus menarik diri dari perundingan TPPA kerana ia hanya akan merugikan Malaysia. Ini adalah kerana jika diamati dari analisa dokumen yang telah dibocorkan dan juga kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh penggubal undang-undang Amerika Syarikat (lawmakers) yang telah melihat isi kandungan perjanjian tersebut, amat jelas bahawa TPPA hanya akan menguntungkan syarikat-syarikat multinasional dengan membolehkan mereka mengheret negara-negara terlibat ke mahkamah antarabangsa bagi menuntut pampasan berbilion ringgit di atas kehilangan “future earnings” atau pendapatan masa depan hanya kerana tidak bersetuju dengan polisi awam atau undang-undang yang tidak memihak kepada mereka.

4. Wan Saiful juga menyatakan keyakinan beliau terhadap kemampuan perunding-perunding Malaysia untuk menjaga kepentingan dan kedaulatan negara kita: “Janganlah kita sangka pegawai-pegawai negara yang dihantar untuk berunding bodoh-bodoh belaka dan hanya akan menjadi pak turut Amerika.  Sudah pastilah kehadiran mereka duduk di meja rundingan untuk mempertahankan kedaulatan negara dan mereka tidak akan tunduk membuta tuli.”

5. Kenyataan ini menunjukkan bahawa Wan Saiful terlampau lurus atau naif. Jika benarlah para perunding Malaysia berpendirian tegas, sangat mahir dan berpengalaman, tidak mungkin mereka mudah dipengaruhi di dalam proses perundingan. Kajian dokumen Bab Pelaburan yang telah dibocorkan oleh Wikileaks beberapa bulan yang lalu menunjukkan bahawa Malaysia tidak meminta agar dikecualikan dari beberapa peruntukan (provision), terutama sekali di dalam mekanisma Investor-State Dispute Settlement (ISDS) ataupun Penyelesaian Pertelingkahan Pelabur-Negara. Semua negara yang berunding tidak meminta pengecualian dari ISDS kecuali Australia yang menyatakan bahawa negara itu hanya akan bersetuju dengan mekanisma tersebut jika beberapa syarat yang dikemukakannya boleh diterima. Syarat-syarat tersebut tidak pula dinyatakan di dalam dokumen yang dibocorkan Wikileaks.

6. Persoalannya ialah: Kenapa para perunding Malaysia tidak berkerja keras dan bersungguh-sungguh untuk melindungi kepentingan Malaysia? Sebagai contoh, Australia, Canada, Mexico dan New Zealand telah menegakkan hak untuk menjalankan kelulusan awal (pre-approve) para pelabur asing. Walaupun Bantah telah mengusulkan cadangan yang sama, analisa dokumen bocor menunjukkan perunding Malaysia tidak meminta hak tersebut. Ini hanyalah salah satu dari pelbagai cadangan yang pernah dikemukakan oleh Bantah tetapi nyata sekali tidak diendahkan.

7. Kami percaya Malaysia sudah kehilangan peluang untuk mengukuhkan kedudukannya, terutama sekali mengenai mekanisma ISDS yang dipercayai boleh mengakibatkan negara jatuh bankrap. Bantah bukan cuba menakut-nakutkan sesiapa tetapi ini adalah senario sebenar yang berkemungkinan besar boleh berlaku.

Mekanisma Penyelesaian Pertelingkahan Pelabur-Negara (ISDS) adalah masalah besar yang tidak boleh diambil ringan

8. Setanding dengan masalah perundingan TPPA yang diselubungi rahsia, mekanisma ISDS merupakan antara perkara yang paling meruncing yang tidak boleh diambil ringan oleh mana-mana negara yang akan menandatangani perjanjian pelaburan ini. Mekanisma ini akan membolehkan pelabur-pelabur asing atau syarikat multinasional mengheret sebuah negara yang berdaulat ke sebuah mahkamah timbangtara antarabangsa (international court of arbitration) untuk meminta pampasan atas “lost future earnings” atau kehilangan pendapatan masa depan akibat perubahan polisi awam yang dibuat oleh sesebuah kerajaan untuk melindungi rakyatnya demi kesejahteraan mereka.

9. Pemenang anugerah Nobel dalam  Ekonomi Joseph Stiglitz menyatakan dalam sepucuk surat terbuka bulan lepas bahawa: “Terdapat pelbagai kekeliruan mengenai ISDS, tapi secara terang dan mudah: ISDS ialah cara merangka balik bagaimana ekonomi harus dikendalikan, dengan memberi lebih kuasa kepada syarikat-syarikat besar dengan mengorbankan nasib pekerja dan orang awam di sini (Amerika Syarikat) dan juga di negara lain.” Secara mudahnya, ISDS direka untuk “mengukuhkan kedudukan syarikat-syarikat besar (corporation) dengan mengorbankan kepentingan awam.”

10. Tahun lepas, sebuah negara yang besar seperti Rusia telah diarah membayar lebih dari US$50 bilion kepada syarikat minyak Yukos kerana dituduh merampas asetnya. Jumlah ini merupakan pampasan ganti rugi yang terbesar dianugerahkan setakat ini oleh sebuah mahkamah timbang tara antarabangsa, peguam Bianca Muller menulis di dalam sebuah kenyataan yang diterbitkan di New Zealand, yang juga merupakan salah sebuah negara perunding TPPA. Muller menyatakan lagi bahawa kos-kos termasuklah bayaran kepada peguam dan perbelanjaan lain mencecah lebih kurang US$9 juta. Russia juga terpaksa membayar kos guaman dan pakar sebanyak US$60 juta dari kos keseluruhan berjumlah US$79,628,055.56, kata Muller.

11. Negara perunding, terutamanya negara membangun seperti Malaysia, kemungkinan besar tidak berkemampuan -- dari segi kewangan, kepakaran, pengalaman – untuk menang jika disaman di mahkamah timbang tara antarabangsa. Proses ini boleh menyebabkan sesebuah negara kehilangan berjuta atau berbilion ringgit, seperti kes Yukos-Rusia.

12. Senator Demokrat Elizabeth Warren telah menulis di dalam sebuah artikel terbitan Boston Globe pada hari Selasa (Jun 23) bahawa anugerah pampasan ini selalunya tidak boleh diubah. “Tidak kira betapa gila (crazy) atau melampau keputusan yang dicapai, rayuan tidak akan dibenarkan. Setelah ahli panel timbang tara membuat keputusan, pembayar cukar yang harus membayar.” Terus terang kami katakan bahawa orang awam, terutamanya pengundi tidak akan setuju jika hasil titik peluh mereka digunakan untuk membayar syarikat-syarikat besar antarabangsa untuk kehilangan pendapatan masa depan.

13. Kos guaman sahaja boleh menyebabkan negara yang diheret ke mahkamah berasa takut. Warren berkata: “ISDS dan kos guaman yang melampau boleh mendorong kerajaan untuk mengabaikan atau tidak menjalankan tindakan yang akan melanggar kepentingan korporat. Ini adalah kerana, menurut Warren, pihak korporat pernah menggunakan ISDS untuk menyaman negara-negara yang telah menaikkan gaji minima, cuba menurunkan kadar penggunaan rokok, ataupun menghalang lambakan bahan kimia yang toksik.  

14. ISDS akan menyukarkan kerajaan yang cuba bertindak di atas kepentingan awam. Germany, contohnya, telah disaman oleh syarikat tenaga Vattenfall yang dipunyai oleh Sweden sebanyak US$6 bilion hanya kerana ketua negaranya Angela Merkel telah mengarahkan penutupan loji nuklear pada tahun 2011 sejurus selepas bencana Fukushima berlaku. Dua lagi syarikat tenaga juga sedang menuntut pampasan berjuta dolar.

15. Negara besar yang paling hampir dengan Malaysia iaitu Australia, juga telah disaman oleh syarikat gergasi pembuat rokok Philip Moris kerana polisinya mengarahkan penggunaan pembungkusan biasa (plain packaging). Philip Morris menggunakan ISDS atas alasan kehilangan pendapatan masa depan. Syarikat yang mempunyai pendapatan tahunan sejumlah US$80 bilion itu juga telah mengheret negara kecil di Latin Amerika iaitu Uruguay ke mahkamah antarabangsa kerana negara itu telah mengarahkan agar saiz amaran kesihatan merokok dibesarkan sebanyak 80 peratus meliputi saiz pek pembungkusan. Uruguay yang mempunyai penduduk berjumlah 3.4 juta dan KDNK (GDP) US$53 bilion merasakan bahawa ia dibuli. Penasihat guaman negara itu Silvina Echarte Acevedo memberitahu The Independent tahun lepas: “Ini seperti David dan Goliath. Tetapi kami akan teruskan perjuangan kerana ini adalah hak dan tanggungjawab kami untuk menjaga kesihatan rakyat kami.”

16.  Di dalam analisanya mengenai dokumen Bab Pelaburan yang dibocorkan oleh Wikileaks, organisasi Public Citizan yang berpejabat di Amerika Syarikat menyatakan bahawa peruntukan mengenai “Pelaburan dan Alam Sekitar, Kesihatan dan Objektif Peraturan”, yang menggunakan terma-terma atau kandungan yang telah diterbitkan dalam perjanjian pelaburan AS yang lain, tidak menjanjikan polisi kepentingan awam boleh dilindungi dari ancaman ISDS (Artikel II.15). Bahasa yang digunakan adalah “self cancelling” di mana telah dinyatakan bahawa “sesebuah kerajaan yang terlibat boleh menggubal polisi bagi melindungi orang awam, tetapi ia tidak boleh bercanggah dengan hak-hak menyeluruh (sweeping rights) yang diberikan oleh perjanjian tersebut kepada pelabur antarabangsa”. Dengan menandatangani perjanjian pelaburan ini, Malaysia dan juga negara-negara perunding yang lain, tidak dapat memenuhi tanggungjawab mereka untuk menjalankan polisi-polisi awam demi kepentingan dan pembangunan sosio-ekonomi.

17. Tidak kira besar atau kecil, negara-negara perunding akan berhadapan dengan masalah yang sama. Sesungguhnya, tiada jaminan bahawa negara kaya atau maju seperti AS, Australia ataupun Germany boleh menang di dalam mahkamah timbang tara antarabangsa walaupun mereka mampu mendapatkan peguam-peguam yang mahir dan berpengalaman. Stiglitz menyatakan di dalam surat terbukanya bahawa Amerika Syarikat tidak pernah kalah di dalam mahkamah timbang tara antarabangsa; namun rekod yang “mengkagumkan” ini hanya boleh dicapai kerana ia berdepan dengan negara membangun yang tidak mempunyai banyak pelaburan di AS dan tiada kemampuan untuk mencabar kedudukan negara maju itu. Namun begitu, AS tidak boleh leka kerana negara yang lebih kaya seperti Jepun dan negara Eropah “yang mempunyai pegangan yang lebih besar di dalam ekonomi AS, dan mempunyai lebih sumber kekayaan, dan juga lebih ‘savvy’ dalam perniagaan antarabangsa” boleh menggunakan mekanisma ISDS untuk mencabar polisi awam AS.

18. Bantah juga sudah berbilang kali menyatakan di dalam kenyataan atau artikel yang lepas bahawa proses timbang tara antarabangsa ini boleh disalahgunakan (open to abuse). Mahkamah timbang tara antarabangsa ini dikendalikan oleh tiga orang ahli panel yang “membuat keputusan di mana rayuan tidak akan dibenarkan sama sekali”, kata Stiglitz. Ada juga “konflik kepentingan yang wujud di mana ‘arbitrators’ atau ahli panel dipilih dari sekumpulan kecil peguam pelaburan yang sangat pakar, yang mungkin telah juga menjadi penasihat kepada plaintif untuk kes tertentu di masa yang sama mereka juga menjadi hakim di kes yang berkaitan”. Memang sangat tidak adil jika tiga orang individu ini diberikan kuasa yang besar untuk menghakimi kes-kes yang melibatkan sebuah negara yang berdaulat.

Jika orang Amerika sendiri tidak memberi sokongan penuh kepada TPPA, kenapa kita perlu menyokongnya?

19. Kita perlu bertanya dengan diri kita, jikalau benar TPPA itu memang sebuah ide yang sangat bernas sehingga digelar sebagai Perjanjian Pelaburan Terunggul Abad ke-21 (the Trade Deal of the 21st Century), mengapa Presiden AS Barack Obama tidak mampu mendapatkan sokongan penuh dari ahli partinya sendiri? Obama telah ditentang oleh penggubal undang-undang dari parti Demokrat seperti Elizabeth Warren dan Nancy Pelosi; termasuklah juga Hillary Clinton yang telah menyatakan bahawa mekanisma ISDS itu ialah satu proses yang “pada asasnya tidak demokratik” (CNN).   

20. Politik perundangan (legislative politics) TPP sudah menjadi “pelik”, William Finnegan menulis di dalam The New Yorker. Beliau menambah: “Setiap kawasan pilihanraya (constituency) Parti Demokrat menentangnya (TPPA); dan semakin bertambah pengetahuan mereka mengenainya, semakin kuat tentangan mereka. Namun ketua mereka, Obama, sangat menginginkannya.” Banyak perkara yang perlu diberi pencerahan dan banyak isu yang perlu diteliti oleh para perunding dan juga penggubal undang-undang kita. “Ahli pembuat polisi perlu memberi perhatian khusus terhadap apa-apa perkara yang boleh menambah ketaksamaan (inequality) dan seterusnya mengakibatkan kesan jangka-panjang yang negatif terhadap peluang ekonomi,” kata Stiglitz.  

21. Bukan mudah untuk Obama meyakinkan agar Dewan Senat dan Kongres memberikannya kuasa ‘Fast Track’, yang juga dikenali sebagai ‘Trade Promotion Authority (TPA)’. Hanya beberapa jam yang lalu, Senat AS telah meluluskan ‘bill’ atau rang undang-undang memberikan Obama kuasa Fast Track selepas perdebatan yang berjalan selama enam minggu dengan undian minima 60-38. Sejujurnya, seorang presiden yang tidak boleh mendapatkan mandat penuh dari ahli partinya sendiri patut membuatkan kita fikir mengapa dan kenapa. Apa yang mereka tahu yang kita tak tahu?

22. Dengan kuasa Fast Track, Obama mempunyai autoriti untuk membentangkan TPPA kepada Kongres, bukan untuk didebat atau dikaji, tetapi hanya untuk mengundi “Ya” atau “Tidak”. Untuk menggulung proses perundingan TPPA, beliau memerlukan Fast Track kerana banyak negara yang tidak mahu meneruskan perundingan tanpa kuasa itu diberikan kepada Obama. Walaubagaimanapun, dengan lampu hijau yang baru diberikan oleh Senat ini, mesyuarat peringkat menteri dijangka akan diadakan bulan hadapan untuk menyelesaikan fasa terakhir perjanjian ini.

23. Obama, yang dilantik buat kali kedua sebagai presiden Amerika Syarikat pada tahun 2013, sedang berlumba melawan masa untuk menjayakan TPPA sebelum ia meninggalkan Rumah Putih awal 2017. Obama berlari pantas untuk merealisasikan impiannya tetapi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) seperti kura-kura di dalam menjalankan kewajipannya kepada negara dan rakyat Malaysia. MITI telah berjanji untuk mengeluarkan Analisa Kos Faedah (Cost Benefit Analysis or CBA) dari akhir tahun lepas, awal tahun ini, seterusnya bulan Jun dan sekarang Julai. Sampai sekarang tidak kelihatan. Adakah rakyat akan dapat melihat kandungan CBA ini? Tidak mengapa. Masa pun sudah suntuk. Kami rasa janji CBA ini hanyalah sandiwara semata-mata agar MITI menunjukkan bahawa mereka “menjalankan tugas”.

24. Sesungguhnya, TPPA BUKANLAH PERJANJIAN PELABURAN YANG TERBAIK ABAD INI. Malah, ia BUKAN YANG TERBAIK BUAT MALAYSIA. Kita sepatutnya mensasarkan yang terbaik untuk semua. Sepert Stiglitz nyatakan: “Mengolah perjanjian yang bagus akan memakan masa – dan memerlukan proses yang terbuka dan demokratik, di mana semua lapisan masyarakat boleh mengambil bahagian.”

25. Bangunlah, wahai rakyat Malaysia! Sedikit masa lagi, perjanjian ini akan ditandatangani, namun CBA Malaysia masih belum selesai. Masa depan anak-anak kita dan cucu-cucu kita dalam bahaya.

26. Bangunlah dari mimpi dan hadapi realiti. TPPA tidak akan membuatkan Malaysia lebih baik atau kaya. Ia akan menghalang potensi negara untuk membangun dan mencapai kemajuan dengan acuan dan cara sendiri dan boleh menggugat kedaulatan negara. Oleh itu, hentilah dari memberi pelbagai alasan. Berdirilah. Katakan TIDAK kepada TPPA! - HARAKAHDAILY 25/6/2015

Penulis ialah Pengerusi Bantah TPPA.

Share on Myspace