Tipu hartanah: Polis Australia rampas komputer, fail

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Polis Persekutuan Australia hari ini merampas komputer dan fail dari sebuah rumah di Vermont South, Melbourne, berkaitan dengan dakwaan penipuan hartanah di Melbourne membabitkan pegawai kanan Mara Incorporated Sdn Bhd, anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Menurut portal berita 'The Age' (www.theage.com.au), serbuan yang dikenali sebagai 'Operation Carambola' dilancarkan sebagai respons kepada siasatan oleh Fairfax Media dalam penipuan membabitkan rakyat Malaysia yang menggunakan hartanah Australia bernilai berbilion dolar untuk pelaburan haram dan dijadikan rasuah di Asia.

Laporan portal berita itu dipetik sebagai berkata: "dipercayai beberapa lagi hartanah lain dijadikan sasaran di seluruh Melbourne."

Semalam, Pengerusi Mara Tan Sri Annuar Musa berkata agensi itu mengadakan audit dalaman dan membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Mara Incorporated Sdn Bhd berhubung dakwaan penipuan dalam pembelian hartanah di Melbourne membabitkan pegawai kanannya.

Pengerusi Mara Tan Sri Annuar Musa berkata proses audit di samping siasatan SPRM, kedua-duanya yang bermula sejak beberapa minggu lepas, masih berjalan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sekiranya ada pihak yang didapati menipu atau cuba memperdaya ahli-ahli mesyuarat Majlis Ekonomi dengan butiran yang tidak tepat atau lengkap, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Akhbar The Age, melaporkan seorang pegawai tertinggi Mara, seorang pegawai kanan, dan seorang bekas ahli politik, didakwa membelanjakan berjuta-juta dana kerajaan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne dalam penipuan hartanah itu.

Akhbar Australia itu mendakwa 'sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya' terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok apartmen di bandar raya itu pada 2013.

Ketiga-tiga pegawai itu didakwa 'membida lebih tinggi' bagi bangunan itu dikenali 'Dudley International House", daripada A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta), dengan wang perbezaan itu dijadikan sebagai rasuah di tanah air.

Dudley International House merupakan asrama pelajar, dibeli oleh Mara yang menyediakan biasiswa bagi pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di luar negara. - Bernama

Share on Myspace