Skandal hartanah Mara: Pemuda buat laporan polis

IZWAN ABDUL HALIM | .

KOTA BHARU: Petang ini, 26 Jun 2015, Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) bersama Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan bersama-sama akan membuat laporan polis berhubung isu pembelian hartanah Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Melbourne, Australia.

Ia berikutan laporan oleh akhbar Australia, The Age bahawa bangunan apartmen lima tingkat yang berharga A$17.8 juta telah dibida oleh MARA dengan harga A$22.5 juta. Lebihan sebanyak A$4.8 juta ini atau bersamaan dengan RM13.8 juta telah menimbulkan keraguan di kalangan masyarakat sama ada ia merupakan satu rasuah kepada pihak-pihak tertentu yang terlibat atau merupakan satu salah kira yang juga tidak boleh dimaafkan.

Justeru, laporan polis dibuat hari ini di Balai Polis Ketereh memandangkan Pengerusi MARA iaitu Datuk Annuar Musa juga merupakan Ahli Parlimen Ketereh mendesak agar siasatan rapi dijalankan oleh pihak berkuasa seterusnya menghadapkan pihak yang didapati terlibat ke muka pengadilan.

Antara pimpinan yang dijangka hadir petang ini di Balai Polis Ketereh ialah Ketua DPPNK, Ahmad Fadhli bin Shaari dan Timbalannya, Nor Azariza Mohd Alawi, Ketua AMK Kelantan Dr Mohd Hafidz Rizal Amran, Ketua Penerangan DPPNK Nazman Che Ibrahim, Exco AMK Malaysia Sukirman Mustafa yang juga Ketua AMK Cabang Ketereh, Setiausaha DPPNK Mohd Kamal Mohamad yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Ketereh serta beberapa orang ahli jawatankuasa masing-masing. – HARAKAHDAILY 26/6/2015

Share on Myspace