Rakyat berhak tahu di sebalik skandal hartanah Mara

HARAKAHDAILY | .

Rakyat Malaysia pada hari ini dikejutkan lagi dengan pendedahan laporan berita The Edge dari Australia yang menyebut bahawa Mara Inc yang merupakan anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (Mara) terlibat rasuah dalam pembelian hartanah di Melbourne pada tahun 2013.

Akhbar itu melaporkan bahawa sekumpulan rakyat Malaysia yang mana salah seorang daripadanya adalah pegawai tinggi Mara telah terlebih membida dalam pembelian sebuah bangunan yang dikenali 'Dudley International House", daripada A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta), dengan wang perbezaan itu dijadikan sebagai rasuah di tanah air.

Tan Sri Annuar Musa selaku Pengerusi Mara mengakui perkara itu dan memaklumkan bahawa pihak Mara sedia maklum akan dakwaan ini dan sedang mengambil tindakan sewajarnya sebagaimana yang dilaporkan dalam Sinar Harian kelmarin.

Pihak Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor amat menyesali perkara ini sekiranya benar sebagaimana yang didakwakan oleh akhbar The Edge dan ini menunjukkan rakyat telah disembunyikan daripada fakta dan maklumat sebenar oleh pihak kerajaan Malaysia dan Mara khasnya sedangkan kes ini telah berlaku pada tahun 2013.

Sebagai rakyat Malaysia yang bebas dan merdeka, sepatutnya rakyat berhak untuk mengetahui hal seumpama ini terutamanya apabila melibatkan dana awam dan kepentingan negara.

Persoalannya, semakin hari semakin bermasalah dan terdedah segala kelemahan institusi dana awam dalam negara ini menunjukkan bahawa penyelewengan demi penyelewengan yang tidak berkesudahan melibatkan pegawai dan mereka yang diberikan jawatan menguruskan kewangan negara ini amat membimbangkan lebih-lebih lagi apabila melibatkan integriti dan keselamatan negara.

Selepas satu persatu pendedahan demi pendedahan dakwaan salahlaku dan penyelewengan beberapa institusi kewangan gergasi yang melibatkan dana rakyat dan awam dalam negara ini seolah-olah tidak berkesudahan dengan apa yang berlaku dan tidak langsung diambil iktibar dan pengajaran.

Difahamkan juga bahawa prosedur sebarang pengambilalihan dan pembelian oleh pihak Mara INC telah ditetapkan bahawa mesti melibatkan Majlis Tertinggi Mara dan juga Kementerian Kewangan Malaysia. Sudah tentu sekiranya berlaku pembelian hartanah ini oleh Mara Inc bermakna pihak Majlis Tertinggi Mara dan juga Kementerian Kewangan dimaklumi akan inisiatif ini dan bagaimana ia boleh terlepas pandang sehingga terjadi sebagaimana yang didakwakan oleh pihak akhbar The Edge?

Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor juga melihat aspek pegangan agama begitu longgar dalam perlantikan dan pemilihan seseorang untuk menjawat dan diberi sesuatu tugas penting yang melibatkan maruah dan integriti negara. Bukankah Islam amat menekankan aspek iman dan amanah berkait rapat antara satu dengan lain?

Lihatlah Al-Quran menyatakan dalam surah An Nisa': إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)..."

Begitu juga Sabda Rasulullah s.a.w: (لا إيمان لمن لا أمانة له، ولا دين لمن لا عهد له)
maksudnya: Tiada iman sesiapa yang tidak beramanah dan tiada agama sesiapa yang tidak berpegang dengan janji.

Apatah lagi isu ini sedikit sebanyak mencemarkan institusi orang Melayu dan Islam dalam negara ini dan juga kesucian bulan Ramadhan yang mulia ini.

Oleh itu, Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor menuntut agar dilakukan segera siasatan yang telus dan jujur oleh pihak siasatan khas seperti Suruhanjaya Diraja dan sekiranya ia terbukti ada sebarang penyelewengan dan salah laku, maka hendaklah dihukum dengan adil dan sewajarnya agar perkara seperti ini diambil pengajaran dan tidak lagi berulang.

Insya Allah Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor akan bersama dengan Dewan Ulamak PAS Pusat untuk menghantar memorandum dalam masa terdekat ini kepada pihak Mara bagi menuntut agar kes ini diambil tindakan sewajarnya. - HARAKAHDAILY 26/6/2015

USTAZ RIZUAN RAHMAT
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor.

Share on Myspace