UIAM2: Beri hak mahasiswa dan kebebasan akademik

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Tindakan Pejabat Penasihat Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memanggil 2 orang mahasiswa menghadap ke mahkamah universiti pada 7 Julai ini untuk didakwa dengan pertuduhan kesalahan menganjurkan 'Forum GST: Between Economic Growth and Social Justice' pada 13 Mei yang lalu merupakan satu tindakan yang perlu diperhalusi.

Dewan Pemuda PAS Malaysia berpandangan bahawa forum yang dianjurkan merupakan satu wacana yang baik dan pihak universiti sewajarnya bersama dan menyokong usaha mewujudkan kebebasan akademik serta membangun budaya demokrasi yang sihat di kampus.

"Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa agar pihak pentadbiran universiti menarik balik segala pendakwaan yang dikenakan ke atas 2 orang mahasiswa tersebut," ujar ketuanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dalam satu kenyataan.

Katanya, Dewan Pemuda PAS Malaysia percaya UIAM tidak sewajarnya mengenakan sekatan kepada apa jua bentuk aktiviti perbincangan, dialog dan pengupayaan sosial mahasiswa yang masih dalam ruang lingkup yang sejahtera.

Ini, ujar beliau penting ke arah melahirkan graduan yang berkaliber dan mampu menjadi agen perubah masyarakat apabila bergraduat.

Sebagaimana pendakwaaan ke atas UKM13, katanya pendakwaan yang dikenakan oleh pentadbiran UIAM terhadap mahasiswa tersebut ditakuti mencalarkan reputasi universiti itu sebagai institusi antarabangsa yang bergelar Taman Ilmu dan Budi.

"UIAM diharapkan akan terus memperjuangkan agenda Islamisasi, Integrasi, Pengantarabangsaaan dan Kecemerlangan Bersepadu yang menjadi sebahagian dari misi dan visi penubuhannya," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas. - HARAKAHDAILY 26/6/2015

Share on Myspace