1.5 juta pekerja asing baharu Bangladesh merisaukan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kenyataan media Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa seramai 1.5 juta pekerja asing baharu dari Bangladesh akan dibawa masuk dalam jangka masa tiga tahun amat merisaukan dan tidak masuk akal.

"Pertamanya, jumlah 1.5 juta ini cukup keterlaluan," ujar Pengerusi Biro Pekerja PKR, Abdullah Sani Abd Hamid.

Katanya, satu Malaysia tahu, jumlah pekerja asing berdaftar pada 2014 mencecah 2.1 juta.

Menurutnya, jumlah pekerja asing yang tidak berdaftar pula dianggarkan lebih dari 4 juta.

Malah, ujarnya mengikut satu kenyataan Kementerian Tenaga Manusia sendiri menyatakan bahawa pekerja asing di Malaysia dianggarkan berjumlah lebih 6.7 juta dan laporan tersebut turut berkata hal ini sangat membimbangkan.

Ini, kata beliau bermakna jika dasar ini dilaksana jumlah pekerja asing di Malaysia akan mencecah 8.2 juta, atau 26% penduduk di Malaysia.

"Keduanya, ke mana hendak diletak tenaga kerja ini? Bidang apa, sektor mana?

"Perkara ini perlu diperjelas terlebih dahulu, dan saya gesa menteri untuk membawa perkara ini ke Parlimen untuk dibahas dengan teliti," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat.

Katanya lagi, rakyat Malaysia tidak mahu dan tidak mampu menanggung beban begitu ramai tenaga kerja asing yang sudah pasti akan mengambil pekerjaan separuh mahir.

Sepatutnya, ujar beliau kerajaan menggariskan dasar-dasar untuk membantu industri dan sektor-sektor yang memerlukan tenaga kerja dengan memberi insentif menaiktaraf peralatan dan pendidikan semula pekerja.

"Bukannya dengan penyelesaian jangka masa pendek seperti membawa masuk lebih ramai pekerja asing," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 26/6/2015

Share on Myspace