Tidak boleh biar siku lutut longlai dimamah virus takut

NASRUDIN HASSAN | .

Umat Islam sedang berdepan dengan pelbagai ancaman dan rintangan yang boleh merosakkan aqidah, akhlak dan fikrah mereka. Sebahagiannya hilang kepekaan terhadap perancangan musuh yang bermaksud untuk melemahkan Islam dan ummatnya.

Kita tidak boleh berpeluk tubuh, membiarkan siku lutut kita longlai dimamah virus takut dan malas berdepan situasi ini. Kita semua kena bangkit berjuang lantas menjulang prinsip Islam dan setiap sendi syariat serta syiarnya. Jangan sampai mereka merancang sedang kita masih mendakap tubuh.

Ramadhan tidak sewajarnya menjadikan kita letih dan lesu sehingga hilang maya upaya justeru Ramadhan adalah bulan jihad. Bulan kebangkitan ummah untuk melonjak izzah (kemuliaan dan kehebatan). Bangkitlah dengan semangat jihad yang tinggi dan jitu demi membawa risalah Islam, membasmi kejahilan, memimpin dan menyelamatkan ummah dari terus menjadi mangsa amukkan jahiliyah.

Meninggalkan jihad menjadikan kita hina. Nabi saw pernah bersabda:
ماَ تَرَكَ قَوْمٌ الجِهَادَ إلاَّ عَمَّهُمُ اللهُ بِالْعَذَابِ

Tidaklah sesuatu kaum yang meninggalkan jihad melainkan Allah swt menimpakan azab (kehinaan) ke atas mereka seluruhnya. (Riwayat at Tabarani fil Awsat)

Kita tidak punya banyak masa untuk madah berhelah. Leraikan segala yang membelenggu diri. Ayuh kita turun bergelanggang. Sahut semboyan juang dan usah peduli seruan yang mendorong untuk kita khianati amanah perjuangan Islam ini.

Ingat penegasan Allah swt:
لَّا يَسْتَوِي الْقَاعِدُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ غَيْرُ أُولِي الضَّرَرِ وَالْمُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فَضَّلَ اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ عَلَى الْقَاعِدِينَ دَرَجَةً وَكُلًّا وَعَدَ اللَّهُ الْحُسْنَىٰ وَفَضَّلَ اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ عَلَى الْقَاعِدِينَ أَجْرًا عَظِيمًا

Tidaklah sama keadaan orang yang duduk bersahaja (tidak turut berjuang) dari kalangan orang yang beriman - (selain daripada orang yang berkeuzuran) - dengan orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang yang tinggal duduk bersahaja dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik dan Allah melebihkan orang yang berjuang atas orang yang duduk bersahaja dengan pahala yang amat besar. (Surah An-Nisa': 95) - HARAKAHDAILY 27/6/2015

Share on Myspace