Pertaruh nyawa, Freedom Flotilla 3 mula ke Gaza

HARAKAHDAILY | .

Freedom Flotilla 3 telah memulakan perjalanan mereka dari pulau Crete Greece menuju pembebasan sekatan Jalur Gaza yang telah berlangsung sejak akhir tahun 2006 lalu.

Sekurang-kurangnya 70 aktivis kemanusiaan termasuk bekas Presiden Tunisia, Moncef Marzouki, anggota Knesset Israel yang berasal dari Arab, Basil Ghattas, ikut serta dalam sejumlah kapal-kapal Eropah yang membawa bantuan kemanusiaan ke Jalur Gaza.

Dalam keterangan pihak penganjur pada pagi Jumaat di Pelabuhan Creta berkata, pelayaran itu adalah untuk memecahkan pengepungan di Jalur Gaza, yang mereka anggap adalah penjara terbuka di dunia.

Menurutnya, ada sejumlah sabotaj yang dilakukan pengintip Zionis Israel terhadap sejumlah kapal-kapal mereka seperti pemusnahan kipas kapal Mariana.

"Akan tetapi itu semua tidak akan membuat kamimundur untuk mematahkan sekatan Jalur Gaza," ujar penganjur dipetik laman web Eramuslim.

Perlu diketahui bahawa kerajaan Tel Aviv sendiri pada awal minggu ini telah memerintahkan angkatan laut Zionis Israel untuk bertindak tegas terhadap Freedom Flotilla 3 yang dijangka akan memasuki Jalur Gaza pada akhir bulan Jun ini.

Ini adalah ekspedisi ketiga yang dilakukan oleh aktivis kemanusiaan dunia, setelah pada tahun 2010 lalu kapal Mavi Marmara diserang Tentera Laut Zionis Israel di perairan antarabangsa.

Berbelas-belas orang dilaporkan terbunuh dalam insiden tersebut.

Share on Myspace