Harakah jadi wadah perkenal, terang dasar PAS

IZWAN ABDUL HALIM | .

PERMATANG PAUH: Menjalin silaturrahim dengan menyantuni realiti hidup warga bandar menjadi antara aktiviti Ramadan Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang.

Aktiviti tersebut diadakan menerusi penglibatan bersama anggota Jabatan Amal dan Alternative Riding Club bertemu mesra dengan penduduk di sekitar Bandar Perda, di sini malam tadi.

Program itu turut disuntik semangat dengan penyertaan sama pimpinan Dewan Pemuda PAS Malaysia iaitu Timbalan Ketua Pemuda, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi; Naib Ketua Pemuda, Khairil Nizam Khirudin dan Bendahari Pemuda PAS Malaysia, Muhtar Suhaili.

Selain pengisian tazkirah, rombongan Pemuda PAS telah mengadakan ‘Street Dakwah’ dengan melakukan kunjungan ke ‘uptown’ di bandar tersebut sambil mengedar naskhah Harakah.

Menurut Ketua Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang, Afnan Hamimi Taib Azzamudden, selain mengeratkan hubungan bersama masyarakat, aktiviti itu juga bertujuan menyampaikan mesej parti.

Harakah menjadi wadah kami memperkenalkan dan menerangkan dasar-dasar PAS. Berbetulan juga di dalamnya terdapat pengisian-pengisian berkaitan Ramadan.

“Mudah-mudahan dengan edarannya menambahkan maklumat dan pengetahuan bukan sahaja mengenai politik semasa, tetapi juga panduan untuk menjalani ibadah Ramadan.

“Insya Allah kami mengharap sentuhan ini menjadikan Ramadan dijalani dengan lebih baik kepada kami dan masyarakat,” ujarnya menyeru penyertaan lebih ramai anak muda dalam aktiviti yang bakal dianjurkan pihaknya.

Katanya, pihaknya mengambil inisiatif membeli Harakah dan mengedarkan kepada orang ramai secara percuma sebagai sebahagian daripada aktiviti dan usaha dakwah kepada masyarakat.

Menurutnya, masyarakat yang ditemui memberikan respons baik, bahkan mencadangkan supaya aktiviti seperti itu diadakan lebih kerap.

Jelas Afnan, Pemuda PAS Pulau Pinang akan terus menggerakkan aktiviti dakwah santai seperti ini berbekalkan akhlak Islam.

“Dalam pendekatan politik dakwah, kekuatan dakwah adalah asas kepada kekuatan politik,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 28/6/2015

Share on Myspace