Mesyuarat PKR Selangor tak sentuh isu Pakatan 2.0

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Pimpinan PKR Selangor tidak membincangkan isu pembentukan Pakatan 2.0 sebaliknya menyentuh perkembangan isu semasa dan pentadbiran Negeri Selangor.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menjelaskan, ia merupakan mesyuarat bulanan biasa dan tiada yang luar biasa, lapor SelangorKini.

“Saya meminta semua pimpinan PKR memberi tumpuan dan fokus untuk melaksanakan tanggungjawab yang diberikan rakyat Selangor serta memastikan aspirasi rakyat ini dapat dipertahankan.

“Ia perlu dilaksanakan di semua peringkat,” katanya kepada media pada Majlis Berbuka Puasa di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Seksyen 7, Shah Alam.

Tegasnya, PKR kekal dengan semangat Pakatan Rakyat dan reformasi tanpa menyentuh soal pembentukan Pakatan 2.0.

“Kita perlu bincang secara baik sekiranya ada masalah dan PKR sentiasa ambil peranan untuk memberikan pandangan dan nasihat supaya semua parti politik dalam Pakatan ini dapat tumpu soal dasar-dasar bersama yang telah dipersetujui,” katanya yang juga Menteri Besar Selangor.

Share on Myspace