Mekanisma baru tangani kenaikan kos bahan api TNB

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN | .

Harga jualan gas asli kepada TNB dan Penjana Bebas (IPP) akan dinaikkan sebanyak RM1.50/mmBtu bermula 1 Julai 2015 menjadikan harga jualan meningkat daripada RM15.20/mmBtu kepada RM16.70/mmBtu.

Peningkatan ini adalah hasil daripada keputusan kerajaan untuk merealisasikan harga gas asli ke paras harga jualan pasaran secara berperingkat. Dengan kenaikan ini TNB akan membayar kos yang lebih bagi bekalan gas asli untuk kegunaan stesen janakuasa.

Walaubagaimana, kali ini tarif elektrik kepada pengguna tidak akan dinaikkan kerana TNB akan menggunakan lebihan bayaran (overcharge) daripada pengguna yang tersimpan berjumlah RM1.1 bilion untuk menampung kenaikan ini. Lebihan bayaran ini adalah disebabkan oleh harga gas bagi tempoh Jan sehingga Jun tahun ini adalah lebih rendah daripada harga yang digunakan di dalam kiraan penetapan tarif yang dikenakan.

Dengan kata lain pengguna sebenarnya telah membayar harga kenaikan ini lebih awal tetapi disebabkan penurunan harga pasaran gas asli sekarang ia telah menjadikan seolah-olah kenaikan harga gas asli ini tidak memberi kesan kepada penguna.

Sesuatu yang tidak diperkatakan adalah, kenaikan ini akan berlaku setiap enam bulan bermula Julai 2015 dengan kenaikan seterusnya pada Januari 2016. Itulah yang diputuskan kerajaan, sama ada ia benar-benar akan berlaku bergantung kepada situasi semasa ketika itu dan ‘political will’ kerajaan. Bagaimana rakyat akan terkesan dengan kenaikan tarif elektik seterusnya ini?

Ini yang merisaukan, kenaikan demi kenaikan harga bertali arus menekan hidup rakyat yang sudah berada di tahap parah. Kos sara hidup yang tinggi tidak sepadan dengan kenaikan hasil pendapatan rakyat.

DPPM ingin mengemukan cadangan kepada kerajaan untuk memikirkan semula mekanisma untuk memastikan bahawa kenaikan harga bahan api pasaran tidak terus memberi kesan kepada kenaikan tarif elektrik.

Mekanisma ICPT yang ada sekarang dilihat lebih untuk melindungi TNB daripada rakyat. TNB dapat memastikan keuntungan berbilion ringgit setiap tahun disebabkan mekanisma ICPT ini memastikan TNB tetap untung dengan kos bahan api akan disalurkan terus (cost past through) kepada pengguna.

DPPM mencadangkan untuk diwujudkan satu Tabung Imbangan (Buffer Fund) bagi menangani masalah kenaikan tarif yang berterusan ini. Tabung Imbangan ini bertindak sebagai mekanisma untuk memastikan kenaikan tarif dapat dikawal dengan menggunakan duit dari tabungan ini bagi menggantikan mekanisma yang ada sekarang yakni pengguna perlu menanggung setiap kenaikan tarif.

Sumber tabungan pula boleh didapati daripada kutipan GST yang berjumlah jutaan ringgit setiap hari, sumbangan khas sektor korporat sebagai sebahagian daripada program CSR mereka atau pun lebihan daripada dana kerajaan yang lain.

Cadangan kedua yang boleh difikirkan adalah dengan memberikan mandat kepada Suruhanjaya Tenaga bagi menjalankan initiatif bagi mengurangkan kos operasi TNB & Penjana Bebas. Inisiatif ini perlu diselia oleh Parlimen bagi memastikan ia dijalankan secara telus dan meletakkan agenda kebajikan kepada rakyat sebagai agenda utama.

Ini penting kerana, initiatif akan membuka isu-isu sensitif antaranya perbincangan semula Power Purchase Agreement (PPA) dengan Penjana Bebas, kecekapan (efficiency) sistem penyaluran TNB dan menutup ketidakcekapan yang lain bagi mengurangkan kos semaksima mungkin.

Apa mekanisma lain yang sesuai untuk melindungi rakyat? Kita ada pengawai kerajaan yang bijak pandai di Putrajaya untuk memilihkan dan mencadangkan initiatif yang dapat dilakukan. Masalahnya Policy Maker – PM tidak serius dalam usaha memastikan kebajikan rakyat terbela. - HARAKAHDAILY 29/6/2015

Penulis ialah Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Share on Myspace