Pemilihan Umno ada kaitan 1.5 juta pekerja Bangladesh?

| .

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) membantah keputusan kerajaan untuk membawa masuk sejumlah 1.5 juta pekerja warga Bangladesh ke negara ini seperti yang diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Khamis lepas.

Ketua Penerangan DUPP, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, DUPP bimbang kemungkinan pengumuman ini adalah sebahagian daripada usaha Umno BN memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

"DUPP ingin berkongsi kebimbangan kemungkinan pengumuman pengambilan masuk 1.5 juta warga Bangladesh ke Malaysia yang disusuli dengan pengumuman keputusan Umno menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan daripada tarikh yang dijadualkan pada tahun hadapan adalah sebahagian daripada persiapan Umno BN untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu juga berkata, dalam keadaan kadar pengangguran rakyat Malaysia meningkat kepada 3.2% pada awal tahun ini, amat tidak wajar keputusan ini dilaksanakan.

Katanya, sepatutnya kerajaan memantapkan polisi untuk menambah bilangan pekerja tempatan sesuai dengan penyediaan peluang-peluang pekerjaan seperti yang telah diumum oleh Perdana Menteri dalam Bajet 2015 dan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

"Keberadaan 6.7 juta orang warga asing dengan hanya 2.1 juta daripadanya memegang Pas Lawatan Kerja Sementara di negara ini (merujuk kenyataan Menteri Sumber Manusia pada November 2014) jika ditambah pula dengan kemasukan baru berjumlah 1.5 juta warga Bangladesh sudah pasti akan memberi implikasi kurang baik terhadap struktur sosial dan pemilikan pekerjaan dalam kalangan rakyat tempatan," katanya.

Menurut beliau juga, pengambilan masuk warga asing ini juga memperlihatkan seolah-olah kerajaan juga tidak yakin dengan agenda-agenda yang telah digariskan dalam “The National Graduate Employability Blueprint (GEB) 2012-2017” boleh berjaya untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan untuk memenuhi permintaan ekonomi sedangkan sejumlah dana telah diperuntukkan untuknya.

Justeru DUPP tegasnya, mendesak mendesak supaya perjanjian yang akan ditandatangani antara Kuala Lumpur dan Dhaka yang dijadualkan berlangsung pada Julai akan datang dibatalkan sehinggalah perkara ini dibawa dan dibahas dengan teliti di Parlimen seperti yang didesak oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dalam sidang yang akan datang.

Tambah Ahli Parlimen Kuala Nerus itu, kenyataan Zahid Hamidi semalam yang mengatakan bahawa kerajaan akan membawa keluar dahulu dua juta pendatang asing yang bekerja secara haram di negara ini sebelum membawa masuk 1.5 warga Bagladesh untuk bekerja secara sah di negara ini dilihat tidak lebih daripada kenyataan untuk menyelamatkan diri.

"Sedangkan umum mengetahui bahawa isu kebanjiran pendatang asing di negara ini tidak pernah selesai pun sebelum ini apatah lagi untuk diselesaikan dalam tempoh yang singkat.

"Kejadian jenayah melibatkan warga asing juga banyak berlaku sehingga mengundang rasa terancam warga tempatan walaupun ia dikatakan kurang 10% daripada keseluruhan kes jenayah yang berlaku. Penularan penyakit berjangkit seperti malaria dan tibi juga sangat membimbangkan," katanya. - HARAKAHDAILY 29/6/2015

Share on Myspace