PDRM bertemu polis Thai bincang mengenai Justo

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengadakan pertemuan dengan timbalan ketua polis Thailand pada Khamis ini yang antara lain bagi membincangkan mengenai kebenaran menyoal siasat bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd (PSI) Xavier Justo yang kini ditahan di negara itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya sebelum ini telah membuat permohonan supaya PDRM turut diberi ruang menyoal siasat Justo sebelum sebarang tindakan diambil ke atasnya.

"Kami memang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Thailand. Tapi kita perlu tunggu dulu mereka selesai apa juga siasatan terhadap subjek itu," katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.

Rabu lepas, Polis Thailand dilaporkan menahan warga Switzerland itu atas tuduhan cuba memeras ugut PSI, sebuah syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Arab Saudi yang menjadi tumpuan di Malaysia berikutan kerjasama pernah dijalin dengan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Berikutan cubaan peras ugut itu, beberapa e-mel dan dokumen disiarkan oleh Sarawak Report, sebuah blog bermotifkan politik sehingga mencetuskan pelbagai tuduhan terhadap 1MDB.

Mengulas lanjut, Khalid berkata perbincangan mengenai langkah seterusnya yang akan diambil terhadap Justo akan turut dibincang pada pertemuan itu nanti.

Ditanya sama ada Justo akan diekstradisi, Khalid berkata perkara itu akan diputuskan kemudian.

"Kita tak boleh bagi masa siasatan, kita kena bagi pihak Thai selesaikan kerja dia, kemudian baru kita lihat apa patut kita buat pula," katanya.

Terdahulu Khalid menyerahkan bungkusan kuih raya kepada ketua formasi dan ketua-ketua polis negeri untuk diagihkan kepada pegawai dan anggota PDRM yang bertugas semasa Aidilfitri nanti. - Bernama

Share on Myspace