Semak semula Auku kes UKM13, UIA2

| .

 

RAMADAN ini menyaksikan dua kes panggilan menghadap mahkamah melibatkan 13 mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)dan dua mahasiswa Universiti Islam Malaysia (UIA) dan ia merupakan satu tindakan pihak Universiti yang tidak berasas.

Mahasiswa yang dipanggil bicara ini dituduh kerana mempertahankan hak mereka, iaitu menggesa pihak pentadbiran UKM menyelesaikan masalah air bagi UKM manakala di UIA pula adalah kerana menganjurkan forum akademik.

Kami di pihak KESATUAN menyifatkan tindakan kedua buah universiti ini sebagai sesuatu yang tidak bijak. Hal ini kerana, gesaan penyelesaian masalah air dan anjuran forum akademik adalah hak dan keperluan sebagai mahasiswa. Sepatutnya peranan pihak universiti adalah memberikan solusi yang konstruktif, bukan menyekat kebebasan mahasiswa. Namun, malangnya pentadbiran universiti lebih memilih untuk menyekat tindakan mahasiswa yang bersifat progresif ini. Tindakan mahasiswa ini adalah sebenarnya terlahir daripada falsafah pendidikan yang diimani mereka.

Jika dikoreksi dua tahun ini 2014 dan 2015, sebanyak 51 mahasiswa telah dikenakan tindakan tatatertib hanya kerana mempertahankan hak mereka. Paling terdekat, lapan mahasiswa UM dikenakan tindakan atas penganjuran program yang memberi ruang sama rata kepada dua belah pihak dalam politik Malaysia untuk menyatakan pandangan. Begitu juga kes tiga mahasiswa UIA dihadapkan ke Mahkamah Universiti kerana berucap di luar pagar Universiti. Dan banyak lagi kes yang berlaku sepanjang dua tahun ini.

Persoalannya sampai bila mahasiswa perlu disekat dari menyatakan pendirian, menuntut hak, dan menganjurkan program? Di mana matlamat untuk melahirkan mahasiswa unggul setaraf Universiti Oxford seperti diimpikan jika mahasiswa disekat kebebasan mereka?

Oleh yang demikian, sebagai bakal peneraju ketamadunan Malaysia,

1. Kami menggesa pihak SUHAKAM menyatakan pendirian secara terbuka berkenan kes UKM13, UIA2 dan semua kes yang berlaku ke atas mahasiswa sepanjang 2 tahun ini dalam masa tiga hari.

2. Kami menuntut agar pihak universiti berkelakuan seperti sebuah entiti pendidikan dan tidak menyekat hak dan kebebasan kami untuk bersuara dan menganjurkan program.

3. Kami juga mendesak SUHAKAM dan Kementerian Pelajaran Malaysia supaya menyemak kembali Akta Universiti dan Kolej Universiti serta Peraturan Universiti yang bertentangan dengan hak dan kebebasan bersuara seperti termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Kami tidak akan berkompromi dengan segala usaha untuk menyekat kebebasan akademik. Kami akan terus memperjuangkannya demi masa depan mahasiswa dan negara yang tercinta. - HARAKAHDAILY 29/6/2015

(Khairol Najib Hashim ialah Pengerusi Kesatuan Mahasiswa Malaysia)

Share on Myspace