Skandal Mara: Dewan Ulamak desak siasatan telus

| .

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat hari ini menghantar memorandum kepada pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) menuntut agar satu siasatan yang telus berhubung tuduhan rasuah dalam pembelian bangunan di Australia.

Ketuanya Datuk Dr Mahfodz Mohammad berkata, siasatan telus perlu dilakukan dengan jujur kerana ia melibatkan soal integriti mereka yang telah diberi amanah.

Bahkan katanya, skandal rasuah sering kali berlaku di dalam negara menyebabkan usaha Malaysia untuk menjadi negara maju mungkin hanya mimpi indah sahaja.

Katanya, siasatan dan tindakan amat penting bagi kerajaan sekali gus menghentikan penyelewengan beberapa institusi kewangan gergasi yang melibatkan dana rakyat.

"Seolah-olah penyelewengan tidak berkesudahan dengan apa yang berlaku dan tidak langsung diambil iktibar dan pengajaran sebelum ini,"katanya selepas menyerahkan memorandum tersebut.

Menurut Mahfodz, adalah menjadi hak rakyat negara ini untuk mendapatkan siasatan yang telus bahkan mereka berhak mengetahui hal seumpama ini terutama melibatkan dana awam.

Justeru, tegasnya, sekiranya terbukti ada penyelewengan dan salah laku pihak kerajaan sewajarnya menghukum pelaku dengan adil dan sewajarnya agar perkara sebegini tidak lagi berulang.

Memorandum diserahkan kepada Setiausaha Majlis Mara Suhaimi Zainuddin di perkarangan bangunan Mara Jalan Raja Laut.

Menurut Suhaimi memorandum itu akan diserahkan kepada pihak pengurusan Mara untuk tindakan selanjutnya.

Turut bersama menyerah memorandum Naib Presiden PAS Idris Ahmad, AJK PAS Pusat Razman Zakaria, Norazli Musa dan ramai lagi.

Skandal Mara menjadi perhatian negara selepas sebuah akhbar The Age membuat pendedahan yang mengejutkan tentang penglibatan pegawai tertinggi Mara dalam pembelian bangunan di Melbourne oleh anak syarikat Mara iaitu Mara Inc.

Menurut akhbar tersebut, pegawai tinggi Mara telah didakwa salah laku dalam pembelian bangunan Dudley International House daripada harga A$17.8 juta kepada A$22.5 juta ianya telah melibatkan perbezaan sebanyak A$4.7 juta. - HARAKAHDAILY 29/6/2015

Share on Myspace