Kanun Jenayah Syariah satukan rakyat Kelantan

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Bagi PAS Kanun Jenayah Syariah (KJS) yang terkandung di dalamnya hudud dianggap menyatukan rakyat Kelantan di bawah kepemimpinan ulama sejak 1990.

Sebaliknya pihak lain pula menganggap isu hudud menyebabkan Pakatan Rakyat bermasalah dan mengundang pertembungan dalaman PAS.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata Nabi Muhammad SAW pada peringkat awal berdakwah dituduh sebagai pemecah belah masyarakat Arab.

“Baginda juga dihalau keluarga sendiri sehingga terpaksa berhijrah ke Madinah bagi mengembangkan Islam.

“Sebab itulah kita sebagai pejuang Islam perlu berani untuk dituduh dengan apa-apa sahaja label seperti yang berlaku sekarang,” katanya pada pogram anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) di sebuah hotel di sini kelmarin.

Program itu bertema Sanggar Bicara Penggubal Mencari Titik Pertemuan Perpaduan Bersama di bawah Kluster Perpaduan Nasional.

Nik Abduh dipertemukan dua panelis dari Umno iaitu ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Umno Pasir Puteh, Zawawi Othman. Dan seorang lagi panelis Datuk Dr Halim Ahmad.

Hadir sama Ketua Kluster Perpaduan Nasional Prof Dr Mansor Mohd Noor. Program bicara itu disertai pensyarah dari Universiti Malaysia Kelantan, UiTM, sarjana dan wakil-wakil NGO.

Isu hudud yang sedang diusahakan kerajaan Kelantan dianggap sebagai punca DAP meninggalkan Pakatan. Ia mengulangi apa yang pernah berlaku pada 2000 apabila DAP menjarakkan diri daripada Barisan Alternatif.

Malah hudud juga membuka tohmahan terbuka kepada PAS sehingga timbul isu kerajaan perpaduan biarpun ia tidak pernah wujud.

Nik Abduh berkata isu itu tidak difahami banyak pihak sehingga mengundang tuduhan tidak berasas terhadap Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“Ramai menganggap idea itu gabungan antara Umno dan PAS, sedangkan apa yang dimaksudkan Presiden PAS kerajaan tanpa pembangkang,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Malah, katanya apa yang dilakukan PAS bagi menunaikan kehendak majoriti rakyat Kelantan, mahu agama dimartabatkan dalam kehidupan masyarakat di negeri ini. - HARAKAHDAILY 30/6/2015

Share on Myspace