Ahli-ahli PAS mesti 'terjun' ke dalam masyarakat

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS Datuk Iskandar A. Samad mengingatkan ahli-ahli PAS agar tidak hanya menumpukan perhatian kepada program-program dalaman sahaja.

"Walaupun program-program pembinaan dan pengukuhan ahli teramat penting tetapi jangan pula rakyat dilupakan," tulis beliau di laman Facebooknya.

Katanya, program-program yang khusus untuk rakyat perlu sentiasa dianjurkan seperti program yang inklusif yang membolehkan masyarakat turut bersama.

"Mereka tidak seharusnya "syok sendiri" jika program-program dihadiri oleh begitu ramai ahli tetapi kurang mendapat perhatian daripada masyarakat.

"Ahli-ahli mesti ‘terjun’ ke dalam masyarakat. Merasai keperitan yang dilalui mereka. Memahami hasrat dan keperluan mereka," tegas beliau.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor  juga menasihati barisan baru pimpinan PAS agar tidak hanya sekadar menganjurkan program-program "touch and go" yang semata-mata bertujuan untuk mendapat political mileage.

Tambahnya, PAS adalah juga parti dakwah yang bukan hanya kepada ahli-ahli tetapi kepada seluruh rakyat bertepatan agama Islam itu sendiri rahmat untuk semua.

Tegasnya lagi, PAS juga mesti menjadi rahmat untuk semua, bukan sahaja untuk orang PAS dan orang Islam tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

"Terutamanya dalam bulan Ramadan yakni rahmat Islam mesti dirasai oleh semua. Sesuai dengan Ramadan sebagai bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat," ujarnya.

Justeru katanya,  PAS mesti menjadi parti inklusif bukan parti eksklusif dan ia mesti memberi peluang kepada semua untuk beperanan.

"Mengambil kira pandangan semua dan bukan pandangan ahli-ahli dan kelompok tertentu sahaja.

Tidak hanya terpesona dengan pujian-pujian tetapi mengiktiraf realiti suasana politik masa kini. Berusaha untuk menangani semua cabaran agar PAS terus unggul dalam persada politik tanah air," katanya. – HARAKAHDAILY 30/6/2015

Share on Myspace