UIA2: Gugurkan pertuduhan, kembali hak akademik pelajar

SOLIHIN ROZALI | .

Majlis Perwakilan Pelajar UIAM membantah tindakan pihak pentadbiran tertinggi UIAM di atas pertuduhan yang dikenakan ke atas dua orang pelajar MPP UIAM kerana telah menganjurkan satu Forum GST baru-baru ini.

Presiden MPP, Hanif Mahpa dan Exco Sekretariat Akademik dan Intelektual, Afiqah Zulkifli telah menerima surat salah laku disiplin daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang UIAM.

Pertuduhan yang disabitkan ke atas mereka adalah di bawah peraturan 3(iii)(d) Peraturan Disiplin Pelajar 2004 (pindaan 2006) atas dakwaan menganjurkan program (Forum GST) yang tidak mendapatkan kelulusan Universiti.

Proses pendengaran dan pembacaan pertuduhan akan dijalankan pada 7 Julai ini bertempat di Pejabat Penasihat Undang-Undang UIAM.

Dakwaan yang dikenakan ke atas mereka adalah amat tidak wajar kerana pihak MPP telah melalui prosedur dan proses yang betul mengikut piawaian yang telah ditetapkan oleh universiti sendiri sebelum program forum tersebut berlangsung.

Forum yang menampilkan Rafizi Ramli, Lokman Adam dan Pegawai Kastam yang ingin dianjurkan dalam suasana yang aman dan penuh ilmiah ini tidak seharusnya disekat oleh pihak pentadbiran kerana ianya bersifat akademik.

Penglibatan ahli politik sebagai ahli panel juga adalah disebabkan keterlibatan mereka dalam pembuatan sesuatu dasar dalam negara. Mereka yang mengusulkan sesuatu usul dan mereka juga meluluskan sesuatu usul atau dasar yang ingin dibuat.

Ahli panel yang dijemput juga terdiri daripada dua-dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang. Bahkan wakil daripada kastam sebagai pelaksana juga turut dijemput. Adalah tidak wajar seandainya forum GST ini dibatalkan kerana motif dari satu pihak sahaja.

Forum GST juga diadakan untuk memberikan pendedahan mengenai 'Apa itu GST?' yang mungkin menjadi persoalan besar masyarakat terutamanya mahasiswa dan mahasiswi. Bukan itu sahaja, forum sebegini perlu digalakkan dan dipupuk agar dengan penjelasan yang jelas, kita lebih cakna dengan kebaikan mahupun kelebihan sesuatu dasar.

Kami juga tidak berpuas hati dengan sikap putar belit dan manipulasi yang telah dilakukan oleh pihak pentadbiran UIAM. Ia seolah-olah telah dipengaruhi  dan mendapat tekanan daripada parti politik tertentu demi menyekat mahasiswa daripada menganjurkan program atau forum yang merugikan pihak mereka.

Sewajarnya, agenda Intelektual yang diperjuangkan oleh Universiti Islam bertaraf antarabangsa ini diangkat martabatnya. Kami percaya, sekiranya sebarang sekatan kepada apa jua aktiviti perbincangan, forum, dialog ataupun wacana yang ingin dijalankan dalam ruang lingkup yang aman dan harmoni ini masih berterusan, maka agenda intelektual yang diperjuangkan oleh Universiti sendiri sukar untuk dicapai.

Oleh itu, Majlis Perwakilan Pelajar UIAM menuntut agar pihak pentadbiran universiti menggugurkan semula dakwaan yang dikenakan ke atas dua orang MPP UIAM dan kembalikan semula hak kebebasan akademik para pelajar. - HARAKAHDAILY 30/6/2015

Penulis ialah Exco Kebajikan Majlis Perwakilan Pelajar UIAM.

Share on Myspace