PAS Pusat beri suntikan baru kepada saf Pulau Pinang

MOHD SABRI SAID | .

KEPALA BATAS: Kunjungan Presiden dan Dewan Harian PAS Pusat ke Pulau Pinang baru-baru ini memberi suntikan baru kepada saf kepimpinan negeri ini bermula dari cawangan, kawasan dan negeri.

Lagipun amat sesuai ekoran sesi ini PAS Pulau Pinang diterajui oleh pesuruhjaya yang baharu iaitu Ustaz Muhamad Fauzi Mohd Yusof merangkap Yang Dipertua PAS Balik Pulau.

Kunjungan kali ini benar-benar menambah perisa kemanisan perjuangan apabila semua yang berada di peringkat atasan adalah ulama berbanding dahulu.

Kunjungan bermakna itu dimulai dengan pertemuan tertutup antara kepimpinan utama dengan jentera PAS seluruh peringkat di Madrasah An-Nadhoh, Kubang Semang, Penanti.

Pertemuan tersebut bermatlamat memberi penjelasan kenapa tapisan berlaku dan memperkenalkan hala tuju golongan ulama untuk mengembalikan imej pimpinan ulama sebagaimana pada tahun 1980 dan 1990-an.

Setelah beramah mesra dan bertukar pandangan dengan para ahli, kepimpinan bertanggungjawab pula menyampaikan maklumat menerusi ceramah perdana di halaman Sekolah Rendah Islam Al-Hidayah bersebelah Markaz Tarbiyah PAS Pongsu Seribu, Kepala Batas.

Manakala pihak Pemuda PAS pula mengadakan program edaran Harakah percuma secara berasingan sempena kempen membeli Harakah dan Street Dakwah di uptown Bandar Perda, Bukit Mertajam.

Program berkenaan dipimpin oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamuddin.

Semasa berucap dalam ceramah perdana semua pemimpin menasihati ahli supaya istiqamah dengan perjuangan dan jangan sekali-kali meninggalkan perjuangan yang telah dibina oleh para ulama dahulu. - HARAKAHDAILY 30/6/2015

Share on Myspace