Kelantan usaha bantu kanak-kanak mangsa dera

ZAMANI MOHD ZAIN | .

KOTA BHARU: Kanak-kanak yang mengalami kecederaan parah disyaki akibat didera ibu tiri, Nur Zuliana Zaara Zulkifli, 5 turut mendapat simpati Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

"Seharusnya masyarakat prihatin sekiranya berlaku kejadian seumpama ini di kawasan sekitar dan melaporkan segera kepada pihak berkuasa.

"Ini perlu bagi mengelakkan kecederaan lebih serius terhadap mangsa dan tindakan dapat diambil bagi menyelamatkan mereka yang terlibat dan menjadi mangsa," katanya kepada media selepas melawat kanak-kanak malang terbabit di Hospital Raja Perempuan Zainab II ( HRPZII) hari ini.

Nur Zuliana Zaara dilaporkan mengalami lebam dan penuh parut di badan selepas didera ibu tirinya.

Kejadian disedari ibu mangsa, Sana Abd Malek, 28, selepas pergi mengambil anaknya itu di rumah bekas suaminya di Rantau Panjang.

Nur Zuliana dijaga ibu tirinya selepas bapa dan ibu kandungnya berpisah sejak 2013.

Menteri Besar berkata kejadian ini amat menyedihkan kerana melibatkan seorang kanak-kanak yang masih kecil dan belum mengenal erti kehidupan.

Pada kunjungan itu beliau turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada keluarga mangsa.

“Kerajaan negeri akan berusaha membantu menyalurkan bantuan susulan kepada kanak-kanak malang itu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/6/2015

Share on Myspace