Minyak naik: Kerajaan dera rakyat sebelum Aidilfitri

WAN NORDIN WAN YAACOB | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan Umno BN disifatkan mendera rakyat khususnya umat Islam yang bakal menyambut 1 Syawal dengan hadiah kenaikan harga minyak berkuatkuasa 1 Julai (hari ini).

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Riduan Mohammad Nor berkata, kenaikan pada kali ini selepas kenaikan beberapa  bulan lalu adalah satu siri penderaan melampau oleh kerajaan yang tidak prihatin dengan masalah rakyat.

Beliau berkata PAS kesal dengan keputusan kenaikan ini kerana rakyat sebenarnya sudah terlalu terbeban dengan himpitan kos hidup selepas 1 April dengan pelaksanaan GST.

"Kos hidup meningkat sedangkan kerajaan langsung tidak memberi apa apa bantuan khususnya kepada kakitangan awam. Bantuan raya RM500 hanya apa sangat yang boleh dibuat khasnya kepada mereka yang ramai anak.

"Selepas beri RM500 bantuan kakitangan awam beraya, kerajaan kutip semula dengan kenaikan harga minyak. Satu tangan memberi satu lagi tangan ambik semula," kata beliau lagi.

Sambil menyifatkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak terlalu boros dengan pembaziran dan projek yang gagal, Dr Riduan berkata kini semua kegagalan kerajaan mengurus kewangan negara dibebankan kepada rakyat dengan kenaikan harga minyak, GST dan pelbagai kenaikan caj perkhidmatan lain.

"Bayangkan sedang rakyat khasnya umat Islam berpuasa, tidak lama lagi sambut Aidilfitri tiba tiba kerajaan naikkan harga minyak. Terbantutlah kegembiraan rakyat mahu sambut Syawal," katanya lagi.

Pada 30 Jun kerajaan mengumumkan kenaikan harga Ron 95 dan Ron 97.

Kenaikan itu menjadikan harga minyak pilihan rakyat iaitu Ron 95 yang sebelum ini pada harga RM2.05 kini RM2.15.

Kenaikan ini mendapat kritikan umum dimedia sosial termasuk kecaman oleh Ketua Penerangan PAS yang baharu, Ustaz Nasruddin Hassan di twitter nya pada malam Rabu. – HARAKAHDAILY 1/7/2015

Share on Myspace