Tidak nampak kelemahan sendiri tanda hati kotor

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Apabila hati kotor apa sahaja orang buat semua tidak betul. Yang baik nampak buruk, yang buruk nampak baik," ujar Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Justeru, katanya patutlah pembersihan hati merupakan agenda penting di dalam tarbiah.

Menurutnya, tanda hati seorang kotor apabila kesalahan orang lain kita nampak, kelemahan diri kita tidak nampak.

"Kita berpuasa kerana kita beriman ia merupakan perintah Allah SWT walau pun sepintas lalu ia merupakan amalan yang memenatkan dan menyiksa tubuh badan," ujarnya menerusi laman facebook.

Begitulah juga, jelasnya dengan perjuangan Islam, dianggap kerja yang membazir masa, tenaga dan meletakkan diri ke kancah kerosakan jika kita tidak pandang dengan Iman kepada Allah SWT.

Menurut beliau lagi, jika di bulan Ramadhan pun perangai buruk tidak berubah maka kita perlu muhasabah apakah matlamat puasa kita tercapai atau tidak.

"Mungkin kita sukar untuk menjadi manusia terbaik sepanjang tahun, sekurang-kurangnya Ramadhan boleh diminimumkan akhlak buruk sebagai permulaan yang baik," ujar beliau.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berharap semoga Ramadhan menjadikan permulaan yang baik untuk kita melakukan perubahan. - HARAKAHDAILY 1/7/2015

Share on Myspace