Khairiah hargai sambung khidmat Ahli Dewan Negara

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Senator Khairiah Mohamed merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan penghargaan di atas kepercayaan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Kelantan untuk menyambung perkhidmatan beliau sebagai Ahli Dewan Negara mewakili kerajaan negeri itu bagi penggal kedua tahun 2015-2018.

"Saya beriltizam akan meneruskan agenda memperjuangkan beberapa aspek penting seperti penerapan nilai hidup beragama sebagai aspek teras mendasari bidang pendidikan, sosial dan ekonomi," ujarnya menerusi laman facebook.

Katanya, ia sama sekali tidak boleh diambil mudah memandangkan melalui Wawasan 2020 dan RMK11 negara mensasarkan menjadi negara maju dalam acuannya sendiri.

Di samping itu, ujar beliau perlu lonjakan usaha peningkatan taraf hidup masyarakat berpendapatan rendah B40 bagi memastikan mereka bersama-sama mengecap kemajuan.

Tambahnya, pembangunan wanita, kanak-kanak dan keluarga juga perlu seiring.

"Tidak dapat tidak, saya akan sentiasa menekankan hak dan kedudukan negeri Kelantan dalam setiap aspek pembangunan dan perancangan Kerajaan Persekutuan," ujarnya lagi.

Menurut beliau lagi, tanggungjwab yang dipikul itu adalah satu amanah yang sangat berat.

Justeru, ujar Khairiah ia memerlukan kerjasama semua pihak agar ia dapat ditunaikan dengan pencapaian membanggakan.

"Justeru, saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu dan memberi kerjasama sepanjang tempoh saya memegang jawatan Ahli Dewan Negara semenjak Julai 2012," katanya.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang, pagi ini. - HARAKAHDAILY 1/7/2015

Share on Myspace