Turki prihatin dasar China larang Muslim Uighur puasa

HARAKAHDAILY | .

 

KEMENTERIAN Luar Negeri Turki menyatakan keprihatinan yang mendalam tentang adanya laporan bahawa Beijing telah melarang berpuasa kepada warga Muslim Uighur, lapor Anadolu Agency.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, kementerian tersebut menyatakan bahawa pihaknya telah menyampaikan keprihatian serta kebimbangan itu kepada duta besar China di Ankara.

"Sudah menjadi rahsia umum adanya laporan larangan puasa bagi Muslim Uighur oleh kerajaan China," kata kenyataan kementerian dipetik laman Islampos.

Namun kenyataan itu tidak memberikan penjelasan apa yang perlu China lakukan berkaitan laporan yang disampaikan Turki itu.

Menteri Luar Negeri Mevlut Cavusoglu menegaskan bahawa Turki terus mengikuti masalah Muslim Uighur.

"Mereka penting bagi kami, kami menyatakan hubungan kami dengan mereka di setiap kesempatan. Kami juga menyampaikan kepada para pegawai China bahawa sangat wajar bagi kami untuk bertindak balas terhadap pelanggaran hak asasi manusia yang terjadi di sana.

"Masalah ini perlu ditangani secara dua hala dan antarabangsa. Kami juga akan membawa masalah ini ke Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian dan organisasi antarabangsa lain," katanya kepada wartawan, semalam.

Beliau menambah Presiden Recep Tayyip Erdogan akan melawat China tetapi tarikh perlu diatur.

Share on Myspace