Baru dapat rebat tol, harga minyak pula naik

HARAKAHDAILY | .

Rakyat kais pagi, kerajaan makan. Rakyat kais petang, kerajaan makan juga. Begitulah ibaratnya pengumuman kenaikan harga minyak semalam setelah PLUS mengumumkan rebat tol sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

Kenaikan harga minyak

Trend harga minyak sedunia sebenarnya agak mendatar kepada trend menurun pada bulan Mei ke Jun 2015 (rujuk graf).

Sepatutnya harga minyak negara sekurang-kurangnya kekal atau dikurangkan berbanding paras Mei 2015 (RM1.95) di bulan Jun (RM2.05) dan Julai RM(2.15).

Ini menimbulkan persoalan apakah peningkatan harga minyak kali adalah berkait dengan kejatuhan nilai Ringgit.

Meskipun begitu, kenaikan kali ini menonjolkan lagi sikap hipokrit kerajaan dalam menentukan harga minyak bulanan.

Ketika harga minyak meningkat di bulan April, kerajaan memilih untuk tidak menaikkan harga minyak di bulan Mei kerana bertembung dengan dua pilihan raya kecil iaitu Rompin dan Permatang Pauh ketika itu.

Cubalah kerajaan melihat sendiri di cermin, jika kerajaan boleh menahan kenaikan harga minyak semata-mata demi pilihan raya kecil, mengapa kerajaan sanggup menaikkan harga minyak ketika harga minyak sedunia turun dan sambutan Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang? Apakah nasib Umno di pilihan raya kecil jauh lebih penting daripada nasib seluruh rakyat Malaysia?

Untuk menghentikan spekulasi dan demi keadilan, PAS menuntut kerajaan mengeluarkan cara perkiraan harga minyak pada akhir setiap bulan sebelum mengisytiharkan harga minyak yang baru pada 1hb bulan berikutnya.

Rebat tol

PAS mengucapkan terima kasih kepada kesudian PLUS untuk memberikan rebat tol. Namun PAS berharap rebat di hari raya bukanlah pembuka jalan kepada kenaikan harga tol selepas hari raya nanti.

Setiap kali sempena cuti panjang, sebenarnya rakyat kehilangan nikmat menggunakan lebuhraya yang sewajarnya dinikmati melalui kadar tol yang dibayar. Perjalanan di lebuh raya tidak menjimatkan masa malah ada yang terperangkap dalam kesesakan berjam-jam lamanya.

Memandangkan keadaan begitu, apakah mungkin PLUS dan lebuhraya lain turut sama cuti bersama rakyat Malaysia sempena musim perayaan besar selama seminggu? Sekurang-kurangnya ini dapat mengurangkan beban rakyat yang terpaksa menghabiskan minyak kereta yang bertambah mahal di dalam kesesakan.

PAS yakin kehilangan pendapatan seperti ini tidak akan menjejaskan operasi mana-mana konsesi lebuh raya di negara ini. Anggaplah ini sebagai rebat kepada pelanggan tetap rakyat Malaysia yang tetap setia menggunakan lebuh raya selama ini. - HARAKAHDAILY 1/7/2015

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
1 Julai 2015

Share on Myspace