Minyak naik serah kepada pam, bagaimana jika turun?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Secara umumnya, oleh kerana minyak adalah barangan terkawal, pengumuman mengenai kenaikan atau penurunan harganya perlu dipikul oleh kerajaan dan rakyat berhak tahu harga barunya dengan lebih awal.

Bagi penulis Shahbudin Husin, menyerahkan kepada pam untuk memberitahu mengenainya menunjukkan kerajaan tidak bertanggungjawab dan cuba lari daripadanya.

"Hanya kerajaan 'cap ayam' yang bersikap sebegini.

"Sebagaimana hari ini semua pemimpin kerajaan bisu dan menyerahkan kepada pam minyak untuk memberitahu rakyat mengenai kenaikan harganya, sama-sama kita tunggu apabila harganya menurun nanti, apakah mereka tetap bisu atau lebih kecoh daripada burung murai jadinya?" tulis beliau dalam blognya hari ini.

Beliau menulis demikian ekoran mulai malam tadi ramai yang bersungut dengan kenaikan harga minyak yang diputuskan oleh kerajaan.

Kenaikan 10 sen bagi petrol RON95 dan 20 sen bagi RON97 menjelang sambutan Aidilfitri kira-kira dua minggu lagi menunjukkan kerajaan seolah-olah tidak memperdulikan langsung denyut nadi rakyat.

Menurutnya, kenaikan ini bukan saja akan menyebabkan semua pembelian untuk sambutan Hari Raya nanti akan meningkat harganya, bahkan harga makanan, kuih muih dan juadah berbuka puasa di bazar-bazar juga pasti akan mengalami kenaikan harga bermula seawal petang ini lagi.

Persoalannya, ujar beliau tidak bolehkah kerajaan menangguhkan kenaikan itu demi memberi keselesaan kepada rakyat menyambut Aidilfitri.

Beliau berkata, belum hilang rasa terbeban dengan cukai GST, kenaikan harga minyak ini umpama beban baru bagi rakyat.

Katanya, ada juga yang bingung dengan kenaikan ini sedangkan harga minyak mentah dunia sedang mengalami penurunan ketika ini.

"Apakah kerajaan benar-benar tiada wang sehingga terpaksa meletakkan beban silih berganti ini kepada rakyat?

"Atau ini barangkali makna sebenar slogan rakyat didahulukan?" tanya beliau.

Tambahnya, ada juga berkata, jika ada pilihan raya kecil sudah tentu kenaikan ini tidak akan berlaku dan pelbagai retorik akan didengar untuk mengekalkan harga minyak itu.

Katanya, kenaikan harga minyak kali ini juga berbeza berbanding sebelumnya kerana tiada lagi pengumuman awal sebagaimana yang biasa dilakukan kerajaan sebelum ini. - HARAKAHDAILY 1/7/2015

Share on Myspace