Minyak naik: Pengguna keliru tiada pengumuman awal

| .

 

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Sarawak mengecam tindakan kerajaan merahsiakan kenaikan harga petrol kepada umum dengan tidak mengumumkan kenaikan harga secara rasmi kepada pengguna.

Ketuanya, M Arifiriazul Paijo berkata, tindakan tersebut mengelirukan pengguna dan seolah-olah menipu rakyat yang berhak ke atas hasil bumi negara.

"Rakyat selaku pengguna dan pemilik hasil bumi negara sebenar, seharusnya dimaklumkan secara rasmi oleh kerajaan.

"Dengan langkah ini, kerajaan seolah-olah merahsiakan dan menipu rakyat terhadap kenaikan harga ini," kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Exco Sabah Sarawak Dewan Pemuda PAS Malaysia turut menggesa kerajaan mengembalikan subsidi petrol dan diesel bagi mengawal harga bahan api.

Menurutnya, dengan harga minyak mentah di pasaran semakin pulih, harga petrol dan diesel akan semakin meningkat.

Beliau juga berkata, kenaikan harga bahan api tanpa kawalan, yang bergantung sepenuhnya dengan harga semasa minyak mentah bakal memburukkan lagi inflasi yang telah menjejaskan kuasa beli rakyat tahun ini.

Tambahnya, dengan GST yang mengakibatkan kenaikan harga barangan, ditambah pula dengan harga bahan api yang tidak menentu, pastinya memburukkan lagi kadar inflasi semasa.

"Menurut Statistik Indeks Harga Pengguna (CPI), Jabatan Perangkaan, GST telah mengakibatkan kenaikan kadar inflasi 1.8% selepas penguatkuasaan GST.

"Kami menganggarkan kenaikan kadar inflasi lebih 1% kesan daripada kenaikan harga bahan api yang tidak dikawal kerajaan. Mangsanya ialah rakyat golongan pertengahan dan bawahan.

"Golongan atasan pula, tidak akan terjejas kerana mereka mampu mengaut keuntungan berganda melalui transaksi luar biasa seperti 1MDB," katanya.

Selain itu ujarnya, kesan kepada warga Borneo bakal berganda akibat kenaikan harga petrol ini.

"Nasib dan hak Sabah dan Sarawak tidak wajar diambil mudah oleh kerajaan persekutuan," katanya. - HARAKAHDAILY 1/7/2015

Share on Myspace