Felda tolak cadangan bina penempatan banjir

ASLANI M | .

GUA MUSANG: Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ) Gua Musang terpaksa mencari tapak baru selepas Felda Global Ventures (FGV) menolak cadangan mewujudkan penempatan mangsa banjir di Aring 2.

Penolakan itu baru dimaklumkan pemimpin Umno Gua Musang sehingga menyebabkan 32 mangsa banjir masih lagi mendiami khemah dan bangsal sehingga sekarang.

Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Tanah Gua Musang, Norazmi Abdullah berkata sebelum ini seorang pemimpin Umno diamanah berunding dengan FGV bagi mendapatkan tanah tersebut.

Bagaimanapun katanya, selepas enam bulan baru dimaklumkan kepada PTJ Gua Musang FGV tidak melulus cadangan mewujudkan penempatan baru mangsa banjir di Aring 2.

“Ekoran itu PTJ Gua Musang mencari tapak baru. Lokasinya sudah dikenal pasti membabitkan kawasan seluas kira-kira enam ekar.

“Sedangkan projek rumah kekal mangsa banjir di situ dipersetujui Jawatankuasa Pasca Banjir Peringkat Negeri dikendalikan JKR Kesedar.

“Kelewatan itu menyebabkan pembinaan rumah kekal di Aring 2 begitu lambat berbanding di tempat-tempat lain,” katanya di sini.

Menurutnya juga PAS Gua Musang dan Pejabat Penyelia Dun Paloh sering datang bertanya khabar dan menghulur bantuan keperluan asas kepada mereka.

Selain itu Yayasan Darul Hijrah dan sebuah NGO dari Pasir Puteh juga sering datang membantu mangsa banjir.

Kelewatan agensi pusat membina rumah kekal mangsa banjir juga dikatakan berlaku di Lebir.

Kelewatan itu menyebabkan sebuah NGO, Islamic AID Malaysia dengan kerjasama Etiqa Takaful tampil membina rumah kekal kepada 30 mangsa banjir.

Pembinaan rumah bertiang tinggi dijalankan di atas tanah milik mangsa banjir yang mempunyai geran secara sah.

Norazmi berkata, sedangkan pada persetujuan sebelum ini JKR Kesedar yang sepatutnya membina rumah kekal di Lebir.

“Kehadiran NGO terbabit membina rumah kekal saya difahamkan tidak disenangi Umno Gua Musang dengan alasan tidak melalui mereka.

“Sedangkan mangsa banjir di situ tidak mempunyai rumah selepas kediaman mereka musnah akibat banjir besar akhir tahun lepas.

“Sepatutnya kita merakamkan ucapan terima kasih kepada NGO terbabit yang bertindak segera membantu mangsa banjir,” katanya.

Beliau juga berkata, penyerahan kunci rumah kekal itu dijangka diadakan pada masa terdekat.

Sementara itu Task Force Pemuda Prihatin Dewan Pemuda PAS Kelantan melawat mangsa banjir yang masih lagi mendiami khemah di Felda Aring 2, Aring 3 dan Aring 10 semalam.

Ketuanya, Nazman Che Iberahim berkata kehidupan mangsa banjir di situ masih lagi teruk selepas enam bulan banjir besar berlalu.  

Katanya, sebanyak 32 keluarga mangsa banjir yang mana rumah mereka musnah tinggal di bawah khemah dan bangsal.

“Mereka tinggal di atas rizab Sungai Aring berhampiran tanah rancangan Felda. Rumah mereka hanyut dirempuh arus sungai.

“Penyelesaian segera perlu dilakukan bagi membolehkan rumah kekal dibina untuk mereka,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 1/7/2015

Share on Myspace