Skandal Mara, masa depan bumiputera Melayu terancam

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Masa depan bumiputera kini kian terancam berikutan skandal membabitkan pembelian Dudley International House yang berharga RM67.2 juta.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, yang merujuk kenyataan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang berkata tiada unsur harga dinaikan dan mengikut prosedur yang ditetapkan adalah mengelirukan.

"Beliau hanya ingin menyembunyikan perkara yang sebenar, sesuatu penipuan yang dilakukan akan dipastikan supaya dari sudut dokumen akan menunjukkan tiada kesalahan dan penipuan yang dilakukan dan tiada pelangaran posedur.

"Apa yang perlu dijelaskan kenapa Mara perlu membayar lebih dari harga pasaran, Laporan ketua Audit Negara pernah melaporkan agensi kerajaan termasuk Mara penuh dengan penipuan apabila barang yang murah dibeli dengan harga yang tinggi," katanya.

Tambah beliau, Mara merupakan agensi milik bumiputera yang diamanahkan untuk menjaga kepentingan Melayu, namun skandal ini mengugat kepercayaan yang telah diberikan.

"Mara yang dilahirkan untuk membangunkan bumiputera dalam bidang pendidikan dan ekonomi, tetapi krisis sedang melanda agensi tersebut.

"Jika ia tidak dipulihkan dan tiada pemantauan kepada pengurusan perbelanjaan serta perolehan tidak mustahil mara akan mengalami krisis yang lebih teruk dan mengugat masa depan bumiputera khususnya orang Melayu," katanya lagi.

Beliau yang menggesa agar satu Suruhanjaya Di-Raja dibentuk bagi menyiasat secara bebas demi memastikan pelindungan Perlembagaan Persekutuan kepada bumiputera Melayu terus terjamin. – HARAKAHDAILY 1/7/2015

Share on Myspace