Kes saman Kias selesai atas persetujuan bersama

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Kes saman bekas pegawai Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) terhadap kolej itu hari ini diselesaikan tanpa mana-mana pihak dianggap bersalah.

Peguam Nik Bahrum Nik Abdullah berkata keputusan dibuat tanpa pengakuan liabiliti iaitu tidak ada pihak yang boleh dipersalahkan dalam kes tersebut.

Katanya, penghakiman dibuat atas persetujuan bersama untuk menyelesaikan kes tersebut tanpa memerlukan proses bicara.

“Ia adalah muktamad dan tidak ada pihak yang boleh membuka kembali kes tersebut. Kaedah ini lebih baik daripada penyelesaian dengan keputusan kerana lebih banyak masa dapat dijimatkan,” katanya di sini.

Kias pada 30 Januari 2014 menamatkan perkhidmatan Timbalan Pendaftarnya, Che Ibrahim Mohamed bagi kepentingan Kias selaras dengan Perkara 41, Bahagian VIII, Bab D Perkhidmatan Kias.

Penamatan perkhidmatan itu diputus Lembaga Pengarah Kias Darulnaim Sdn Bhd pada 27 Januari 2014.

Ekoran penamatan itu Che Ibrahim dibayar faedah sebanyak RM37,000 termasuk tiga bulan gaji, bayaran faedah dan bonus 2013.

Kes saman berkenaan dikendalikan Hakim Mahkamah Perusahaan, Gulam Muhiaddeen Abdul Aziz yang bersidang di bangunan Perkeso, di sini.

Pada perbicaraan itu Kias diwakili Nik Bahrum dan peguam Raj Kupusamy mewakili Kias. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kias, Prof Dr Abdul Aziz Md Zin. Perbicaraannya bermula semalam.

Nik Bahrum berkata sebagai persetujuan penyelesaian kes saman tersebut Kias bersetuju membayar sebanyak RM180,000 kepada Che Ibrahim.

“Bayaran itu bukan bermaksud Kias bersalah dalam kes berkenaan, sebaliknya sebagai jalan tengah bagi menyelesaikan saman berkenaan secara harmoni,” ujarnya.

Difahamkan sebelum ini bekas Timbalan Pendaftar Kias terbabit menuntut ganti rugi sebanyak RM1 juta.

Pada perbicaraan tersebut juga plaintif menuntut Kias mengeluarkan surat akuan khidmat secara berhemah sepanjang 12 tahun berkhidmat di Kias bermula 1 Januari 2000 hingga 1 Febuari 2014.

Bagaimanapun kata Nik Bahrum Kias hanya bersetuju mengeluarkan surat akuan berkebolehan melaksanakan tugas yang diamanah ketika ditawar jawatan berkenaan. - HARAKAHDAILY 1/7/2015

Share on Myspace