Minyak naik dirasai rakyat ketika sambut Syawal

HARAKAHDAILY | .

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam sekerasnya-kerasnya kenaikan harga minyak RON95 dan RON97.

Kenaikan harga minyak ini dilaksanakan belumpun sempat rakyat menyesuaikan diri dengan pengenalan GST dan kenaikan harga keperluan asas yang lain kesan daripada kemerosotan nilai Ringgit di pasaran pertukaran antarabangsa.

Sesungguhnya kenaikan harga minyak ini akan menambahkan beban di bahu rakyat yang sedang menjalani ibadah puasa sempena bulan Ramadhan. Kenaikan ini pasti akan sangat dirasai ketika membuat persiapan untuk meraikan ketibaan Syawal tidak lama.

Umum mengetahui henaikan harga minyak akan mencetuskan kesan berangkai dalam pelbagai perkara. Kenaikan harga minyak ini akan tetap mencetuskan barangan keperluan asas terutama sekali makanan di sebalik pelbagai jaminan daripada pihak pemerintah.

Pengumuman daripada Menteri Hal Ehwal Pengguna Datuk Hassan Malek bahawa sebarang kenaikan perubahan harga minyak tidak akan diberitahu terlebih dahulu juga menimbulkan pelbagai tanda tanya.

Adakah kenaikan harga minyak akan terus berlaku pada masa hadapan?

Persoalan ini akan menjurus kepada satu persoalan yang lebih asas; bagaimanakah situasi sebenar ekonomi negara kita.

Rakyat Malaysia yang prihatin sedang mengikuti dengan cermat perkembangan semasa krisis kewangan yang berlaku di Greece.

Krisis kewangan ini tercetus akibat daripada kegagalan kerajaan negara tersebut menguruskan kewangan negara tersebut dengan cermat termasuk hutang luar negara. Krisis ini turut mengancam kestabilan kewangan Kesatuan Eropah (EU).

Kenaikan harga minyak ini seakan merupakan petanda kegagalan kerajaan merangka serta melaksanakan dasar fiskal yang mapan. Ditambah pula dengan kenyataan bahawa hutang luar negara telah meningkat kepada RM740 billion setakat suku ketiga tahun 2014. Manakala kerajaan pusat pula menanggung hutang sebanyak RM582 billion yang merupakan 54.5% daripada Kadar Keluaran Negara Kasar (KDNK) negara.

Berdasarkan kepada situasi semasa, ABIM menilai kenaikan harga minyak ini di samping pelaksanaan Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) mulai April lalu hanyalah umpama “tikus membaiki labu”! Pengurusan kewangan ataupun fiskal negara tidak dicorak semata-mata pada perbelanjaan semberono semata-mata.

Pengurusan kewangan dan fiskal negara perlu melestarikan kitaran ekonomi yang mapan untuk rakyatnya. Keyakinan di kalangan pelabur luar dan tempatan perlu dibina berasaskan kepada nilai integriti yang tinggi.

Kemandirian ekonomi rakyat perlu dicorakkan dengan galakan ekonomi yang bebas (dari campur tangan politikus) serta berdaya saing menerusi perancangan fiskal yang efisyen. Menerusi corak ini rakyat tidak akan menjadi “pengemis” serta terpaksa mengikat perut di bumi mereka sendiri!

Kita tidak mahu tragedi Mohammad Bouazizi di Tunisia (yang mencetuskan Arab Spring) daripada berlaku di negara kita! Sekiranya ia tercetus ia akan mengheret negara ke kancah kegawatan politik yang akan hanya mengakibatkan rakyat terus menderita. - HARAKAHDAILY 1/7/2015

AMIDI ABD MANAN,
Presiden ABIM

Share on Myspace