Minyak naik: Ke mana pergi subsidi bahan api?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Naib Preside PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, pengumuman kerajaan bahawa harga minyak naik lagi mengikut harga pasaran adalah formula bagi membolehkan kerajaan tidak lagi mahu memberi subsidi bahan api.

"Ini bererti kerajaan akan melepaskan tanggungjawab sosial dengan dibeban kepada rakyat," ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada pengumuman kenaikan harga minyak oleh kerajaan bermula semalam menjadikan harga runcit petrol RON95 naik 10 sen kepada RM2.15 seliter manakala RON97 sebanyak 20 sen kepada RM2.55 seliter.

Menurutnya, kerajaan perlu sedar dengan kenaikan harga petrol akan memberi kesan berantai kepada harga barang keperluan harian yang sememangnya rakyat sedia terbeban dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

"Persolan yang timbul ke mana pergi subsidi petrol, diesel dan gas hampir RM20 bilion setiap tahun?" tanya beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Sepatutnya, ujar beliau kerajaan perlu membuat perancangan yang lebih teratur sebagai persediaan mengenai harga bahan api yang tidak menentu setelah kerajaan melaksanakan agenda rasionalisasi subsidi terutama memperbaiki pengangkutan awam di negara ini.

"Sedangkan pengangkutan awam tidak efisyen, ini memaksa rakyat mengguna kenderaan sendiri untuk ke tempat kerja. Masalah tempat parking di stesen LRT tidak cukup," ujarnya lagi.

Tambahnya, perkhidmatan bas antara stesen dan kawasan perumahan begitu lemah yang semuanya memaksa rakyat berkenderaan sendiri ke tempat kerja dengan menggunakan petrol.

Beliau berkata, sebelumnya rakyat dibeban dengan kenaikan harga insurans kenderaan, kemudian ditimpa dengan GST pula.

"Rakyat jadi pening, apa tugas kerajaan untuk kesejahteraan rakyat?" tanya beliau. - HARAKAHDAILY 2/7/2015

Share on Myspace