Air: Selangor arah operator tingkatkan kapasiti

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR:  Kerajaan Negeri Selangor prihatin dan bersimpati dengan kesulitan yang dihadapi oleh penduduk dan pengguna di kawasan Hulu Langat dan Kuala Langat dan beberapa kawasan lain sepanjang tempoh gangguan bekalan air ini terjadi, lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadhan dan musim perayaan ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Selangor, Zaidy Abdul Talib, gangguan bekalan air di kawasan terbabit adalah kerana kekurangan jumlah air terawat yang dapat disalurkan oleh pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) kepada para pengguna.

Ini kerana katanya, jumlah air terawat yang tidak mampu memenuhi permintaan yang semakin meningkat di samping peratusan NRW( Non Revenue Water) yang masih tinggi.

"Keadaan menjadi bertambah rumit apabila berlakunya gangguan operasi di Loji Langat yang menggangu jumlah bekalan air terawat yang dapat disalurkan kepada pengguna," katanya kepada Harakahdaily.

Melalui mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Bekalan Air yang Kerajaan Negeri Selangor telah dan akan mengambil beberapa tindakan segera antaranya, mengarahkan supaya operator loji rawatan air seperti Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, SPLASH, ABASS dan Konsortium Air Selangor Sdn Bhd meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran air loji dalam wilayah Hulu Langat dan Sepang seperti Loji Sungai Labu, Salak Tinggi dan Cheras Batu 11 pada tahap maksimum.

Selain itu, katanya, Syabas telah diarahkan untuk meningkatkan pengagihan rumah pam Wangsa Maju dari SSP1 & SSP3 ke Pudu Ulu di mana dengan ini dapat mengurangkan kawasan agihan dari Loji Rawatan Air Sungai Langat.

Kerajaan Negeri Selangor mengarahkan Puncak Niaga untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran air di Loji BRH  di mana dengan cara ini dapat membantu menampung agihan di sebahagian kawasan Kuala Selangor.

"Pada masa yang sama, bekalan air dari Loji SSP 1 dapat dialihkan ke Kolam Lipat Kajang bagi membantu kawasan Sijangkang dan Kuala Langat," tambah beliau.

Selain itu, beliau berkata, projek Mitigasi 2 yang dijadualkan siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2015 akan mengambil alih sebahagian kawasan agihan Loji Sungai Semenyih dan Loji Sungai Langat.

Antara kawasan yang terlibat ialah Seputeh, Petaling Jaya dan USJ. Projek ini juga akan meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran air di Loji Rasa dan akan mengambil alih kawasan Rawang dari SSP3.

Justeru itu, kerajaan negeri juga meminta supaya pihak Syabas dapat  memastikan bekalan air melalui lori 'tanker' ke kawasan yang terjejas dapat dilaksanakan dengan dengan cara yang terbaik.

"Diharapkan juga semua pengguna air di seluruh Negeri Selangor dapat melakukan penjimatan air agar ia tidak memburukkan lagi keadaan, apatah lagi dalam keadaan musim kering sekarang ini," kata beliau. – HARAKAHDAILY 2/7/2015

Share on Myspace