Siasat dakwaan peneroka Felda berhutang RM146,502

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa satu siasatan dilakukan oleh pihak berwajib berhubung dakwaan Zurina Amnan bahawa ayahnya berhutang sebanyak RM146,502.32 sebagaimana Penyata Hutang dari Felda Techno Plant ke atas peneroka itu.

Jumlah besar yang tidak termasuk hutang utama lain kepada syarikat tersebut itu, seakan mengesahkan pertikaian dan dakwaan selama ini ke atas Felda dan anak-anak syarikatnya bahawa mereka telah memanipulasi tenaga empat kerat peneroka.

"Felda telah membuat untung besar dari keringat peneroka yang setia memugar tanah mengisi sebahagian pembangunan negara," ujar Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Peneroka Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Roslan Md Esa.

Di era ini, katanya apabila para peneroka mulai senang menikmati hasil titik peluh mereka, poket simpanan mereka pula bocor dari penglibatan dalam saham Felda Global Ventures Holding (FGVH).

Katanya lagi, kejatuhan saham FGVH ke paras paling rendah secara mendadak memperlihatkan seolah-olah peneroka telah diperdaya, malah kini penyata-penyata hutang berkenaan hadir menjerut leher mereka.

Menurutnya, jumlah hutang sedemikian sangat tidak munasabah setelah para peneroka sejak sekian lama memerah keringat, tiba-tiba di usia emas, mereka menerima beban hutang sebesar itu.

Pastinya, ujar beliau wujud urusan di luar kewajaran dan unsur-unsur memangsa dan menganiaya sebelah pihak.

"Situasi ini menunjukkan Felda sudah tersasar dari objektif penubuhannya, di mana bebanan ditanggung syarikat itu kini mungkin sedang dipindahkan kepada peneroka, sedangkan terdapat kawasan kebun mereka itu yang terbiar kerana sudah lama tidak diusahakan," katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Dewan Pemuda PAS Malaysia percaya terdapat banyak lagi kes senasib dan seumpama ini yang tidak didedahkan ke pengetahuan umum.

"Sehubungan itu, siasatan telus ini nanti diharap dapat membawa keluar jerung sebenar dalam masalah ini dan tidak memangsakan peneroka sebagai anak-anak bilis," tambahnya lagi. - HARAKAHDAILY 2/7/2015

Share on Myspace