Kelantan perluas penggunaan tulisan jawi

| .

 

KOTA BHARU: Kelantan akan menjejaki langkah kerajaan Brunei menggunakan tulisan jawi dalam semua surat rasmi kerajaan negeri.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, penggunaan tulisan jawi sudah lama dilaksanakan di Kelantan, namun akan diperluaskan lagi dalam usaha memartabat tulisan berkenan.

“Pihak berkuasa tempatan di Kelantan termasuk Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam mewajibkan iklan memapar tulisan jawi bersama tulisan lain,” katanya pada majlis penyampaian hadiah pertandingan tulisan khat di Madinah Ramadan di sini semalam.

Teks ucapannya dibaca Speaker Dun Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kob.

Seramai 442 peserta terdiri dari pelajar dan orang awam mengambil bahagian pada pertandingan tersebut.

Hadir sama anggota Exco, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abd Rahman dan Pengarah Muzium Kelantan, Dr Nik Azlan Abdul Hadi.

Pada pertandingan itu M Affwan Al Muttaqie, 22 mendapat tempat pertama dan membawa pulang wang tunai RM1,800. - HARAKAHDAILY 2/7/2015

Share on Myspace